Di antara pulau bukit-bukit
di balik karang batu-batu
aku mencari kilauan
mutiara-mutiara persaudaraan
yang telah jatuh bertaburan
dari kalung kesatuan
yang terputus berselerakan.

Di hamparan putih lautan tenda-tenda
kesedihan menyelimuti aku yang tergamam
di sunyi hati pecah berderai kaca rasa
melihat permata maknamu jauh tenggelam
ditarik ladung kolektivisme yang padam
ke gelita dasar individualisme yang dalam.

Di muktamar tahunan ini
telah jatuh bertaburan dan berselerakan
erti kesatuan dalam persaudaraan
titipan Junjungan di Haji Perpisahan.

Haji,
tangan-tangan kotor berdosa itu
telah meragut kembang persaudaraan
dari rekah tangkai kesatuan
yang pernah mekar segar dahulu
di jambangan hikmah ritualmu.

Jadilah kau kini…
kuntuman kembang kehilangan seri
sakar madumu tak lagi wangi.


FM
9 Zulhijjah 1430 H
Kau harus bersyukur sepenuh hati
kerana kau kini bergelar tetamu Ilahi

Aku tahu pengorbananmu
untuk sampai ke situ
besar sekali
meninggalkan kampung halaman
dan mereka yang kau cintai.

Aku juga tahu perjalanan ini
mungkin, seumur hidupmu hanya sekali.

Oleh itu saudaraku
jangan kau lepaskan kesempatan ini
jayakanlah ibadahmu seluruh diri
kerana tiada kemulian yang tertinggi
dari bersujud di hadapan Tuhan Yang Abadi.

Tataplah wajah tanah itu
hitunglah batu-batu, hidulah debu-debu
kerana bekas-bekas perjuangan nabimu
masih basah di situ.

Sungguh, kota Makkah dan Madinah
adalah kitab sirah yang terdedah
hidup dan penuh faedah
tuntunan berkiprah
mantap tanpa goyah.

Sapalah saudara-saudaramu
walau mereka berlainan suku
jalinlah tali persaudaranmu
atas nama akidah yang satu.

Campaklah dirimu
ke dalam lautan manusia berjuta itu
biar kuyup dan basah bersama
tengelam hingga ke dasarnya
kerana kau adalah mereka
dalam sendu dan tawa.

Bawalah gelombang manusia berjuta itu
mengalir dari lautan rohani
menyerbu dalam deru nusa yang satu
ke lautan hidup duniawi.

Pukullah pantai kawat berduri itu
yang selama ini meliliti pergerakanmu
untuk menjunjung perintah dan larangan tuhanmu
biar butir-butir pasir pantai itu
masin bersama garam gelombangmu.

Adakah pantai kawat berduri yang tidak terobohkan
oleh ombak menggunung tinggi api tsunami?
Manakah kawat berduri yang tajam berkilauan
maka terputus rantaian badai besi keyakinan suci?


Fikrul Mustanir
Kelana Jaya
November 2009
(Ilham dari harapan perjuangan ketika menatap foto Al Hambra yang terpenjara kesepian di bumi Andalusia.)

Monumen duka puncak Teres
tersergam kemerah-merahan
mengamit rindu perpisahan
senandungkan syair menghiris
mengetuk hati pemuda harapan
untuk bangkit membebaskan
mutiara kilauan zaman
di tangan kotor berkurun tertawan.

Aliran Darro sederas derai air mata
biar sinar mentari Granada mendakap mesra
kesayuan menatap menyapa jua
menyebak dada
membakar gelora
semangat dan cita…

Jejalur cahaya di sela jendela Dewan Duta
memancarkan seribu warna nestapa
tembok dan 13 menara
menjulur lambai ke udara
secemas tangan-tangan lemas meronta
minta diangkat dari banjir derita.

Aliran dan pancuran air di Halaman Singa
tak kan mampu menyejuk atmosfera jiwa
juga membasuh aib di muka
kita yang sedang berputih mata.

Sabarlah Al Hambra…
detik bahagia kan berkunjung jua
menemani perjuangan pemuda harapan
adalah Janji yang tak termungkirkan.

Akan datang ketika…
rantai belenggu yang dikalungkan
oleh helah Ferdinand dan Isabella
akan jaya kita putuskan.

Sekalah air matamu…
tiada guna menangis sendu
dalam isak gadis pemalu
kerana perjuangan pembebasan
mendambakan keberanian si JANTAN!

Selama Janji tak tertunai lagi
perjuangan ini tak kan berhenti!


Fikrul Mustanir
Jumaat, 13 Nov 2009.
Tika langit seakan-akan runtuh,
Menghempap diri
Tika bumi seakan-akan
Menyempit menghimpit diri

Kubayangkan keindahan yang pernah kunikmati,
Sering ku renung langit nan indah setiap pagi,
Menemani perjalanan ku setiap hari
Kufikirkan bumi redha menjadi tempat ku berpijak
Menyediakan tempat bagiku melangkah
Berjuang menadah ilmu,
Seiring mencari mardhatillah

Tapi mengapa di saat ini
Segala yang kucari tidak kutemui
Semua yang pernah menemani memencilkan diri

Duhai sang bidadari,
Inilah hakikat sebuah kehidupan
Berjuang dan berkorban
Namun usah kau bimbang
Kerna pentas dunia itu sementara cuma
Moga taman akhirat menanti kita

Nukilan,
Azmah Abdul Latif
Taman Ilmu
SMKBA


Ilahi Ya Rabbi,
Sendirian di sini
menghitung tasbih hayat
kutiti jambatan iman
kuselami makna kebenaran
beratnya memikul bebanan ini!

Ilahi Ya Rabbi,
Kudongakkan kepala
menembusi langit tak berawan
menghadap cahaya hidayahMu
kutulis puisi hati dari mimpi
kulukis sendu pengabdian
mengharap belas pengampunan...

Ilahi Ya Rabbi,
Di sini kumencari redhaMu
antara bebayang mentari
dan redup embun membasahi
mencari harga diri...

Ilahi Ya Rabbi,
kuselami makna kehidupan ini
dan perjuangan suci
kutafsiri makna derita silam
kutiti jalan duka hari ini
dan...aku pasti kembali
mencari sejernih air al-Kautsar...
Ampunilah!!!!
Karya: Saudara Masri

Aku menutup mashaf Al-Quran yang aku baca. Sesekali angin yang masuk menerusi jendela menghembus lembut ke wajah aku. Aku pergi ke arah tingkap, melihat pandangan yang terlalu indah. Kelihatan camar-camar berterbangan. Awanan biru seakan-akan menjadi taman permainan camar-camar tersebut. Kelihatan juga beberapa pemuda dan pemudi berjalan di tepian pantai, tapi masih penuh dengan adab sopan. Aku terpesona melihat alam ciptaanNya. Betapa kerdil aku jika dibandingkan dengan alam ini. Kala itu, kenangan-kenangan lama kembali ke kotak minda aku.

****

Aku melihat jam tangan Rolex aku. “Ah, kenapalah perempuan ni lambat sangat?”

Monolog aku sendirian. Sambil menanti kedatangannya, kelihatan jua beberapa orang pasangan muda sedang berehat-rehat di bawah pohonan pokok. Lagaknya macam orang dah berkahwin, tapi kalau dah berkahwin kenapa perlu melakukannya di bawah pokok. Aku tersengih sendiri.

Orang yang aku tunggu-tunggu tiba. Dengan rambutnya yang panjang menyentuh bahu. Hidungnya yang mancung ala mat salleh. Alis matanya, memang menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Bibirnya yang merah menyala di hiasi gincu mengoda setiap lelaki yang melihatnya. Tetapi pandangan aku beralih pula kepada lelaki di sebelahnya. Abangnyakah, adiknya kah atau siapa? Tapi kalau itu abangnya, buat apa di bawa bersama. Tetapi aku terus pergi menghampirinya, kononnya untuk menyambut kekasih yang di sayangi. Senyuman mesra yang aku lemparkan tak berbalas. Sebaliknya lelaki itu datang ke hadapan aku. Aku pura-pura terkejut.

“Kau tahu tak siapa aku?” soal lelaki tersebut.

Aku menggeleng kepala seperti orang bodoh. Lelaki tersebut menyambung lagi:

“Akulah Joe, teman lelaki Mary. So, aku rasa kau dah faham tujuan kedatangan aku”.

Aku terkasima, aku memandang ke arah Mary. Dia pura-pura tidak melihat aku. Aku mampir ke arah dia dan menarik tangannya, mencari penjelasan.

“Apa semua ni Mary?” soal aku dengan tidak sabar.

“Bukankah kau dah dengar semuanya, Joe adalah kekasih aku. Kau sudah tiada tempat lagi di hati aku. So, aku rasa kau tak payahlah nak penat-penat berfikir. Just leave me,” jawab Mary.

Aku mula hilang sabar. Seperti ada satu kuasa, satu momentum yang kuat dari telapak tangan aku kenakan ke atas wajah lembut Mary. Joe. Lelaki sial itu menarik aku. Dia menerajang aku. Aku terduduk. Aku bukan lawannya.

“Sampai hati kau Mary,” tangis hati aku.

Aku melihat sahaja Mary dan lelaki sial itu meninggalkan aku. Aku seperti mahu menangis. Tapi aku menahan air mata aku dari keluar. Ah, masakan lelaki seperti aku mahu menangis hanya kerana seorang perempuan. Kata-kata itu bermain di benak fikiran aku. Aku terus bergerak tanpa tujuan. Aku pergi ke stesen bas, aku mahupergi ke destinasi yang tak diketahui. Aku tak mahu lagi menaiki kereta sports aku yang mahal ini. Tak sanggup aku menaiki kereta yang pernah aku bawa perempuan tak guna itu. Hampir sepuluh minit aku menunggu, barulah bas yang ditunggu tiba. Aku terus melompat naik ke dalam mulut bas tersebut. Selepas selesai diperiksanya tiket, aku mencari tempaat duduk aku di dalam bas untuk aku berehat. Aku terlihat sebuah tempat duduk di sebelah seorang wanita tua. Aku terus pergi ke arah tersebut. Aku terus mengambil tempat duduk di sebelah wanita tua itu.

Entah kenapa, mulut aku ni gatal untuk bercerita dengan wanita tua itu. Aku menceritakan kepadanya tentang Mary. Tentang Joe. Semua kisah aku dengan Mary aku ceritakan kepada wanita tua itu. Sehinggalah sampai ke babak aku berpisah dengan Mary. Aku sudah tidak sanggup bercerita lagi. Wanita tua itu hanya mendengar sahaja. Tidak menambah atau memberi ulasan.

Bas itu terus meluncur laju. Wanita tua itu hamya mendengar sahaja cerita aku. Selepas itu bas tiba ke destinasnya. Wanita tua itupun turun, penumpang lainpun turun. Aku kabut, entah kenapa, aku pun turut turun bersama wanita tua tersebut. Aku mengekori wanita tua tersebut. Tetapi dia hilang dari pandangan mata aku. Aku kehairanan. Pelik dan ajaib. Manusiakah wanita tua tersebut atau jin? Persoalan itu tersu bermain. Aku melangkah longlai. Baju aku sudah kuyup dibasahi peluh. Aku tersu melangkah dan melangkah.

Hari semakin gelap, aku mencari-cari temapt yang sesuai untuk aku berteduh. Aku terpandang ke satu sudut. Kelihatan timbunan kotak dan surat khabar. Aku terus merebahkan tubuh aku di atas timbuan surat khabar tersebut. Tiba-tiba aku nampak seorang lelaki, kurus tubuhnya, datang ke arah aku. Bau tubuhnya busuk, mukanya cengkung, pakaiannya compang-camping. Dia terus duduk di sebelah aku. Entah kenapa sekali lagi aku gatal bercerita. Segala kisah silam aku ceritakan pada lelaki itu.

Dia seperti wanita tua tadi, tidak memberikan sebarang komen, sebaliknya hanya mendiamkan diri sahaja. Aku terus bercerita. Aku lihat mamat di sebelah aku ni sudah mula mengantuk. Dia sudah terlena. Aku bercakap seorang diri rupanya. Aku tersengih seorang diri didalam kegelapan malam. Aku pelik. Aku yang sering bergaya mewah, kini hidup di celah-celah timbunan surat khabar. Ah, ini rupanya penangan cinta. Kini aku mula percaya cinta tu merosakkan. Aku yang dulu bergaya kini kelihatan lebih papa dari orang yang papa kedana. Aku menguap. Mengantuk kerana sejak siang tadi aku tak tidur.

Aku terjaga. Lelaki di sebelah aku sudah tiada. Aku buat tak endah sahaja. Tiba-tiba angin menghembus lembut. Aku menggigil kesejukan. Aku mengambil helaian surat khabar untuk menyelimuti tubuh aku. Keadaan berubah lagi, satu cahaya muncul di depan aku, menyilaukan mata aku. Bau wangi yang tak tergambar wanginya menusuk hidung aku. Aku terkasima. Aku melihat satu tubuh muncul perlahan-lahan di hadapan aku. Dia tersenyum kepada aku. Dia bertudung litup menutupi mahkota dan dadanya. Pakaiannya labuh. Pelik. Aku tak pernah melihat gadis secantik ini. Dia menghampiri aku. Dia memberi salam kepada aku. Aku terdiam. Dia mengelilingi aku. Aku pelik. Siapakah gadis ini? Persoalan itu terus bermain.

Tiba-tiba angin menghembus dengan lebih kencang. Surat-suratkhabar itu berterbangan. Gadis itu hanya berdiri di hadapan aku sambil aku memandang ke arahnya tanpa berkelip. Keadaan sekitar mula berubah. Kelihatan satu binaan di hadapan aku. Seperti pernah aku lihat, tapi di mana ya. Gadis itu menarik lembut tangan aku, aku terkejut. Dia membawa aku masuk ke dalam bangunan tersebut. Aku lihat ramai lelaki di dalam bangunan tersebut. Mereka sedang duduk, berzikir. Aku pelik. Aku memandang ke satu arah pula. Aku melihat ramai gadis dan wanita. Semuanya berpakaian seperti gadis tadi. Mereka juga sedang khusyuk dengan kerja masing-masing. Gadis itu hadir ke arah aku bersama seorang lelaki.

“Selamat datang ke raudhah,” lelaki itu menyalami aku.

“Raudhah?” aku pelik.

“Ya, Raudhah. Tempat paling tenang di dunia ini. Kau bertuah kerana telah memperisterikan seorang gadis dari raudhah.”

“Apa?” aku terkejut. Macam nak gugur jantung aku.

Tiba-tiba angin bertiup kencang. Gadis itu hilang dari pandanagn mata aku. Lelaki tadi jua hilang. Bangunan tadi berganti dengan lorong tempat aku tidur. Aku hairan. Aku takjub. Aku terkejut. Tiba-tiba aku terdengar satu suara yang telah lama aku tinggalakan. Sayup-sayup suara itu memanggil aku, menyedarkan aku. Aku terus melangkah ke arah satu tempat yang sebelum ini amat jarang aku menjejakkan kaki ke dalamnya. Sudah ramai jemaah. Aku melihat sahaja kelakuan mereka. Salah seorang daripada mereka, berjubah putih, menyoal aku:

“Eh, kenapa tercegat lagi. Ambillah wudhu’, imam dah nak mulakan solat dah.”

Aku garu kepala aku yang tak gatal seperti orang bodoh. Lelaki itu terus meninggalkan aku. Aku melihat sahaja kelakuan manusia-manusia itu. Entah kenapa aku berasa seronok, terlalu tenang. Satu perasaan yang tak dapat di gambarkan muncul dalam minda aku. Aku melihat mereka sudah selesai solat. Lelaki tadi datang ke arah aku. Dia bertanya:

“Kenapa awak tak solat bersama kami?”

Aku ternganga, tak tahu nak jawab apa. Aku menggaru-garu pula hidung aku yang tak gatal. Lelaki itu memandang ke arah aku sambil tersenyum. Dia berkata lagi:

“Kita ni hidup sementara. Sepatutnya dalam hidup ni biarlah kita buat apa yang disuruh, tinggal apa yang dilarang.”

Aku semakin tak faham. Kepala otak aku semakin pening. Aku memandang wajah lelaki itu memohon penjelasan.

“Kau tahu solat?” Tanya lelaki itu kepada aku.

Aku mengangguk. Dia bertanya lagi:

“Kau pernah solat tak?” Tanya dia lagi.

Aku mengangguk lagi. Dia tanya lagi:

“Bila?”

“Waktu aku kecik dulu,” jawab aku pendek.

Lelaki itu mengurut janggutnya. Aku memerhatikan sahaja. Dia kelihatan sedih, kadangkala dia seperti mengeluh. Tiba-tiba dia berkata:

“Kau faham tak maksud sakinah?”

“Tak,” jawab aku pendek.

“Aku dulu seperti kau. Aku tak reti solat. Aku rasa aku lebih teruk daripada kau. Aku seolah-olah tiada agama. Tapi satu hari aku lalu di masjid ni. Bila aku dengar suara azan aku tertarik. Aku bernasib baik sebab ketika itu ada seorang ustaz di sini. Dialah yang membantu aku. Sejak hari tu aku terus tinggal ni untuk mencari sesuatu. Kau tahu tak apa yang aku cari?”

“Aku memburu sakinah,” terang dia pendek.

Sejak hari itu aku terus menetap di masjid itu. Aku belajar dengan lelaki itu. Dialah yang mengajar aku cara-cara mencari sakinah. Di situ aku mula berubah. Jika dulu aku sering lupa untuk sujud kepada pencipta. Kini aku sudah mula merasakan kelazatan ibadah itu. Aku berasa seronok. Aku mengambil keputusan untuk tinggal di kawasan berhampiran. Dengan duit yang aku ada aku membeli sebuah rumah kecil. Aku membuka sebuah kedai runcit. Aku sudah lupa kehidupan aku di tempat lama. Aku senang di sini. Aku mahu memburu sakinah. Ya aku mahukan sakinah. Sakinah, sakinah,sakinah…

****

Aku tersedar dari lamunanku. Sudah lama rupanya aku termenung, teringatkan kisah-kisah lalu. Aku keluar untuk berjalan-jalan di tepian pantai. Aku mahu melihat camar-camar putih yang berterbangan. Aku mahu keluar mendengar hempasan ombak yang mengasyikkan. Sambil berjalan aku menguis kaki aku di pasir pantai. Kadang kala aku tersengih sendirian melihatkan telatah pemuda pemudi kampong itu. Mereka tidak seperti aku, mereka lahir dengan kehidupan yang penuh adab sopan. Dibatasi adat dan syara’, sedangkan aku…

Seorang gadis lalu di hadapan aku sambil menjinjing seliparnya. Dia bermain-main di gigi air. Entah kenapa aku tertarik untuk menghampirinya. Dia bertudung litup, menutupi dada. Berbaju kurung, sopan. Aku tertarik. Aku pergi ke arahnya. Aku membuka kata:

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab gadis itu separuh terkejut. Dia memalingkan wajahnya ke arah aku. Dia segera tunduk malu. Aku terkejut, benarkah apa yang aku lihat ini. Gadis ini memang tak tumpah seperti gadis yang muncul di dalam mimpi aku. Aku cuba menyambung bicara tetapi lidah aku kelu. Gadis itu mula bersuara:

“Siapa nama saudara?”

“Masri,” jawab aku. Aku menyoalnya pula:

“Siapa nama saudari?”

Dia terdiam seketika, kemudian menjawab:

“Nur As-Sakinah.”

Aku terkasima. Aku tertarik dengan nama itu. Dia memandang wajah aku yang separuh terkejut.

“Kenapa, kelakarkah nama saya?” Tanya gadis itu.

Aku menggelengkan kepala aku. Aku baru sahaja ingin menyambung bicara tetapi dia meimnta izin untuk pulang. Kami berjanji untuk bertemu lagi esok.

Seperti biasa, aku mengisi waktu malam ku di masjid. Aku mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh imam masjid. Beginilah kehidupan aku. Jika dulu di waltu malam-malam begini aku seperti kelawar yang mencarai makanan di waktu malam. Tapi kini aku lebih senang dudk di masjid atau tinggal sahaja di rumah.

Kata-kata lelaki berjanggut yang aku temui kala menjejakkan kaki di masjid ini masih terngiang-ngiang ditelinga aku. Sakinah yang dia sebut telah ku temui. Kalau aku tahu begini hebatnya sakinah sudah lama aku mencarinya. Benarlah jika Allah ingin memberi hidayah kepada hambaNya tiada siapa yang dapat menghalang. Allah yang telah mengeluarkan aku dari ranjau kegalapan yang hitam mencengkam ke dalam satu jalan yang penuh dengan cahaya ketenangan ataupun lebih mudah untuk aku kata sebagai sakinah.

Sedang aku cuba melelapkan mata aku, tiba-tiba wajah Nur As-Sakinah yang ku temui di pantai muncul. Aku teringatkan janji kami untuk bertemu di pantai pada esok harinya. Aku tidak tahu kenapa aku begitu tertarik kepadanya. Pada kali pertama aku menatap wajahnya memang pasti dialah gadis yang muncul di dalam mimpiku. Ah! Mimpi itu mungkin hanya mainan tidur aku tetapi Sakinah yang aku temui tadi adalah realiti. Aku tersenyum sendirian. Entah kenapa aku terlalu suka bila nama Sakinah muncul di jiwa aku. Adakah aku sudah jatuh cinta? Soal aku kepada diriku sendiri.

Esoknya selesai sahaja solat Subuh aku dudk sebentar di runag tengah masjid. Aku lihat seseorang masuk ke dalam masjid. Aku rasa aku kenal siapa dia. Ya, dialah lelaki berjanggut yang aku temui dulu. Aku membuka salamku kepadanya.
“Assalamualaikum, abang kenal saya lagi tak ?” soalku.

“Waalaikumussalam. Ah, kau rupanya Masri. Bagaimana kedaan kau sekarang Masri. Sudah ketemukah kau dengan sakinah yang aku ceritakan dulu.”

Aku hanya tersenyum. Aku menyambung bicaraku:

“Benar apa yang abang sebut dulu. Kini saya sudah dapat merasainya. Abang, tahu, jika saya tahu begini lazatnya sakinah sudah lama saya mencarinya. Sejak tinggal di sini barulah saya tahu ketenangan bukannya ada pada harta saya yang bertimbun. Lihat sahajalah kehidupan saya sekarang. Saya hidup sederhana sahaja tapi saya bahagia.”

“Baguslah kalau macam tu Masri. Kau bertuah sebab Allah dah pilih kau untuk mendapat hidayah ni. Bukan semua orang dapat mengecapi ketenangan.”

“Hah bang, marilah ke rumah saya. Bolehlah kita berborak-borak panjang lagi.”

Lelaki berjanggut atau nama sebenarnya Ali hanya tersenyum dan mengangguk. Aku mengambil begnya. Kami berjalan pulang ke rumah aku. Di rumah kami berbual dengan lebih panjang lagi. Sempat juga aku bercerita tentang kehidupan aku sekarang. Sedang rancak berbual abang Ali membuka satu persoalan yang sukar untuk aku menjawabnya.

“Abang tengok kau ni Masri dah cukup semuanya. Harta pun ada. Jadi takkan kau tidak terfikir untuk mencari pasangan hidup.”

Aku hanya tersengih mendengar kata-kata abang Ali.

“Saya ni bukannya tak nak kahwin bang. Siapa tak nak kahwin di dunia ni Cuma calonnya sahaja yang belum saya terjumpa.Tengoklah nanti kalau ada jodoh tak ke mana betul tak bang?”

Abang Ali hanya tersenyum mendengar kata-kata aku. Aku mempelawa abang Ali untuk tinggal sahaja di sini bersama aku. Aku berasa begitu riang kerana dia bersetuju untuk tinggak bersamaku. Petang itu seperti mana yang di janjikan aku pergi ke pantai untuk berjumpa Sakinah.

“Assalamualaikum,” aku memulakan bicara.

“Waalaikumussalam,” jawabnya lembut selembut tuan punya suara. Dia menoleh ke arah aku. Dia tersenyum. Manis sungguh senyumannya.

“Sudah lama ke Sakinah menunggu saya di sini?” soalku berbasa-basi.

“Takdelah lama sangat. Ina pun baru sahaja sampai,” dia membahasakan diri dia Ina.

Sebenarnya aku lebih selesa untuk memanggilnya dengan nama penuhnya.

“Saya rasa lebih molek jika mengunakan nama Sakinah. Saya lebih gemar begitu. Mengapa perlu ditukar nama yang indah itu. Apakah Sakinah faham maksud di sebalik nama Sakinah ini?” soalku.

“Sudah semestinya saya tahu. Bagaimana pula dengan Masri, adakah Masri merasakan ada sesuatu yang belum tersingkap disebalik nama saya ini.”

Aku hanya menggelengkan kepala aku. Petang itu kami berjalan-bersama di gigi air. Namun begitu kami masih belum lupa adat dan hukum agama. Aku tahu Sakinah seorang gadis yang suci dari noda. Aku hanya tersenyum melihatkan dia bermain dengan kanak-kanak di pantai itu. Begitu riangnya dia. Kami juga pergi kearah nelayan yang baru sahaja pulang dari laut. Kami melihat hasi-hasil nelayan tersebut.

Sakinah begitu seronok memegang ikan-ikan yang masih hidup. Kadangkala dia tertawa kecil. Aku juga begitu seronok tika bersama dia. Aku mula merasakan satu perasaan yang aneh mula muncul di dalam hati aku. Masih terlalau awal untuk aku meluahkan perasaan aku. Aku tidak mahu terburu-buru. Sakinah umpama sekuntum mawar yang mewangi di taman istana larangan. Aku tahu aku kena berhati-hati ketika memetiknya.
Malam Jumaat penuh barakah, usai solat Maghrib Salida menatap kembali gambar-gambar keluarganya yang diambil dari camera Sony Ummu Rufaydah, salu persatu gambar ditatap. Ada garis duka di wajah tua emak dan abah, ada garis kerisauan dan rindu yang sarat menggunung di sebalik keceriaan wajah tua mereka. Salida menarik nafas perlahan, ditahan dan dilepaskan. Senyum dan terus senyum.

"Salida! Engkau mesti kuat.."

Salida memperkemaskan kembali keyakinannya pada Ilahi, konsep usaha, doa dan tawakkal kembali digiatkan. Pertolongan Allah datang saat dia masih mencari-cari dan terus menyusun kata untuk kembali ke Malaysia. Sungguh, keyakinan pada Allah itu perlu diperkemaskan kembali setelah badai ujian menghempas ketenangan hatinya. Teringatnya pada istikharah yang dilakukan secara berterusan hampir seminggu sebelum menyuarakan perkara tersebut pada Sakinah, kemudian terus dan terus lagi istikharah sehinggalah kepulangan Ummu Rufaydah yang membawa seribu kegembiraan, sejuta keyakinan bahawa Allah itu sentiasa bersama hamba Nya. Subhanallah.

Innallahha ma'ana.

Senyum dan terus senyum. Alhamdulillah. Masih diimbaskan kembali episod tanda-tanda usai istikharah, rindunya sarat menggunung pada mak abah. Terasa mereka terbeban dengan keberadaan dia di bumi Syria, terasa hati sangat dekat dengan mereka dan semua di Malaysia. Rindu pada debu-debu Malaysia, cuaca dan segalanya tentang Malaysia. Jauh di sudut hati, begitu terseksa rasanya mahu meninggalkan bumi Ambiya' yang penuh barakah, mahu rasanya menghabiskan pengajian disini dan terus menggali ilmu-ilmu dari pada ulama'. Hati yang terbelah, andai bisa jasadnya dibahagi dua pastilah sudah diminta dari Rabb agar jasadnya berada disisi keluarga di Malaysia juga terus menghabiskan pengajian yang tersisa 2 tahun lagi di bumi Syria. Allah saja yang lebih tahu. Hatinya masih pada Syria, khabar berita dari Ummu Rufaydah disambut dengan kesyukuran yang tidak mampu ditamsilkan dengan kata-kata.

Tawakkal alallah.

"Ida, masih termenung? Dah bersiap untuk ke pejabat?" Suara Sakinah bergema di ruang kecil biliknya.

"Kina, Ida bersyukur atas kurniaan Nya. Ida hanya nak Kina tahu, seberat mana ujian yang tergalas dibahu sebenarnya kita tetap ada Allah untuk bergantung. Tetap diberikan kepada kita insan-insan yang dikirimkan dari Nya untuk bersama. Tiada yang diciptakan Nya dengan sia-sia, semuanya ada hikmah yang tak mampu kita selami hingga sampai pada masanya yang Dia tetapkan."

"Iya Ida, syukran selalu ingatkan Kina. Ida nak ikut tak ni?" Sakinah membetulkan jubahnya, sambil mengambil beberapa keperluan yang mesti dibawa bersama.

"Kina nampak cantik sangat, berseri-seri jer. Ada apa-apa ker?"

"Hey Ustazah Salida, baru harini ustazah perasan ana cantik berseri?" Sakinah menjegilkan matanya. Riang, suasana kembali seperti dahulu.

"Dah lama ana perasan Ustazah Sakinah cantik berseri tetapi serinya semakin kemilau pula. Ehem, dapat durian runtuh ke?"

Gelak kecil Sakinah dengan usikan temannya.

"La ya ustazah! Ana bersyukur atas kurniaan Nya, Allah telah memudahkan dan berikan jalan terbaik buat sodiki hakiki. Alhamdulillah." Redup pandangan Sakinah pada insan dihadapan matanya.

"Ustazah Sakinah, ana... ana... nak ikuttttttt. Tunggu!"

"Itu la Ida, kan dari tadi Kina dah pesan bersiap. Lepas Maghrib Kina nak pergi pejabat."

"Ustaz Naim ambil kita ke?" Tanya Salida.

"Tak, Ustaz Hakim dan Ustaz Muiz yang datang. Nanti Ustaz Muiz insya Allah temankan Kak Ummu dan Maisarah ke rumah Amirah. Ustaz Hakim temankan kita, insya Allah ke pejabat. Lagipun Ustaz Hakim yang gesa sangat kita ke pejabat. Al-maklum la, beberapa hari ni tergendala sedikit oleh kerana ada orang yang nak balik Malaysia. Nak tinggalkan persatuan dan teman-teman disini." Usikan semakin galak diantara mereka.

"Eh, walimatul urus Amirah bila? Ida blank la. Lupa... he he."

"Ustazah Salida, hati awak dah sampai Malaysia. Sahabat sendiri nak walimah pun boleh mengelamun lagi. Insya Allah, akad nikahnya usai Isya' dan esok biasalah.. Makannnn!"

"Patut la awal lagi Sarah nak ke sana kan, tapi kenapa kita lewat sangat pergi. Akad nikah lepas Isya' dan sekarang baru nak pergi?"

"Iya ustazah, sepatutnya dari tadi kita dah pergi tadi ustazah yang belum siap lagi."

Salida tergelak kecil. Kedua tangannya diangkat, tanda mengalah. Terus dicapainya tudung.

"Kenapa kita ke pejabat dulu Kina?"

"Kita bersama pengantin lelaki... Lagipun Kina nak siapkan sikit lagi kerja disana. Ustaz Hakim minta disiapkan malam ini juga. Masalah pelajar. Perlu segera."

"Khalas ustazah, ana dah siap."

Sambil menyambar beg tangan, mereka berdua beriringan keluar ke ruang tamu. Satu nota tersisip di depan pintu.

Kina, nanti kunci pintu sebelum keluar. Maaf kami keluar awal waktu antunna sedang membaca Yaasin.

- Kak Ummu -


"Ya Allah, lewat sangat ke kita ni? Tak perasan pun mereka keluar. Nak tunggu Ustaz Hakim?" Soal Salida.

"Nanti, Kina hantar sms dahulu."

Salam Ustaz, kami dah siap. Pesanan dihantar.

Ana di luar. Pesanan dibalas.

"Eh Ida... Ustaz Hakim ada di luar. Ya Allah... Cepat."

"Asif ustaz, kami lewat. Lama menunggu?" Salida rasa bersalah kerana dia yang lewat.

"Alhamdulillah, ana sampai dan terima pesanan dari Ustazah Sakinah. Jadi, tak perlu ana menekan loceng."

"Alhamdulillah..." Sakinah dan Salida menjawab di dalam hati. Sepanjang perjalanan tiada perbualan berlaku diantara mereka bertiga.

"Ustazah Sakinah, nanti dah selesai beritahu pada ana." Ustaz Hakim menyampai pesan, umum mengetahui Ustaz Hakim tegas dan sangat menekankan perkara yang membabitkan urusan pembelajaran para pelajar di Syria. Sebagai presiden persatuan, ketokohannya digilap agar anak buah dibawahnya tidak hanya suka-suka dalam persatuan. Mereka diingatkan pada kebajikan para pelajar Malaysia agar terjaga. Di bumi asing, hanya sahabat dan persatuanlah yang menjadi tempat mereka meminta bantuan.

***********

"Alhamdulillah, mabruk. Selamat pengantin baru." Pelukan hangat dari Salida buat pengantin yang di rai.

"Jazakillah Ida, tadi Sarah bagitahu Ida temankan Kina ke pejabat. Syukran datang walaupun lewat."

"Maaf ye kak, kami tadi perlu siapkan perkara penting berkaitan pelajar. Jadi, Ustaz Hakim minta kami siapkan juga malam ni, jadi lewatlah kami tiba disini." Sakinah menambah bicara Salida sebentar tadi.

"La ba'sa, datang pun dah cukup bagi akak."


Hihihi... Apa la merepek neyh, tulis spontan jer. Aduiiii....
"Kak Ummu nak cakap dengan Kak Ida..."

Maisarah melepaskan headphone ditelinganya. Panggilan antarabangsa menggunakan syarikat telekomunikasi internet. Seminggu berlalu, berita sedih dari keluarga Salida diketahui oleh ahli bait mereka, Maisarah dan juga Ummu Rufaydah meskipun Ummu Rufaydah masih berada di Malaysia.

"Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam whb kak. Akak sihat? Mak ayah sihat?"

"Alhamdulillah, mak ayah kak Ummu sihat. Ida sihat ker?"

"Alhamdulillah, bi khair."

"Alhamdulillah. Ida, semalam Kak Ummu ziarah keluarga Ida di kampung. Alhamdulillah, mereka semua kirim salam. Mereka juga kirimkan barang-barang buat Ida, insya Allah 2 hari lagi Kak Ummu bertolak ke Damsyik. Flight Kak Ummu malam. Nanti antunna jemput Kak Ummu, boleh?"

"'Alaika wa'alaikumussalam. Insya Allah kak. Mak ayah Ida sihat ke kak?" Kedengaran suara Salida bertukar nada, perasaan rindu pada keluarga dan kerisauan pada adik bongsunya membuatkan Salida semakin rindukan Malaysia.

"Alhamdulillah, mak ayah Ida sihat. Adik Ida pun sihat, ceria jer sepanjang Kak Ummu ziarah. Barang Ida haritu, Kak Ummu dah pos awal-awal. Jadi, Kak Ummu hanya bawa buah tangan. Ida jangan risau ye, adik Ida sihat. Ida jangan susah hati, Kak Ummu ambil banyak gambar dengan ahli bait Ida, nanti Kak Ummu bagi pada Ida. Kalau Ida nak cepat, sekejap lagi Kak Ummu hantar e-mail."

"Terima kasih kak... Kalau Kak Ummu boleh e-mail, e-mail la. Kalau tidak, Ida tunggu Kak Ummu balik yer."

"Insya Allah dik. Kuatkan semangat, jangan susah hati, jangan fikir yang bukan-bukan."

"Insya Allah kak. Syukran, jazakillah."

"Afwan dik, jazana waiyya kum."

*********************

Sakinah, Salida dan Maisarah ditemani Ustaz Naim ke mator (lapangan terbang) menunggu ketibaan pesawat dari Abu Dhabi. Ummu Rufaydah 'transit' di Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan ke Damsyik.

"Itu Kak Ummu." Maisarah mengejutkan Salida dan Sakinah yang sedang ralit berbual. Ustaz Naim berada agak jauh dari mereka, sekadar menemani muslimat sebagai musyrif juga tunangan kepada Sakinah. Peraturan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS), muslimat perlulah ditemani oleh musyrif apabila keluar pada waktu malam untuk keselamatan diri.

"Assalamu'alaikum..." Ummu Rufaydah menyapa sahabat-sahabat yang dirinduinya. Seorang demi seorang sahabat dipeluk erat.

"Alaikumussalam. Alhamdulillah, selamat sampai. Selamat kembali ke Bumi Syam." Sakinah memeluk Ummu Rufaydah seeratnya.

"Ida sihat?" Ummu Rufaydah menyapa sahabatnya, ada riak wajah duka yang terselindung di sebalik sehelai kain niqab yang dipakainya.

"Alhamdulillah." Salida mengangguk, lalu pandangan di jatuhkan ke bawah. Sukar menatap insan di hadapannya, sekalipun wajahnya terselindung di sebalik sehelai niqab namun mata selalu menceritakan apa yang terbuku di hati.

Beberapa beg Ummu Rufaydah bertukar tangan. Mereka berempat jalan beriringan dan Ustaz Naim sudah sedia menunggu di depan teksi.

***************************

Seusai solat Subuh berjemaah, mereka meneruskan pembacaan al-Mathurat dan Surah Yaasin buat Syakirah, adik bongsu Salida. Sakinah dan Maisarah menyiapkan sarapan sementara Ummu Rufaydah berbicara sambil menunjukkan gambar-gambar keluarga Salida. Camera jenama Sony milik Ummu Rufaydah bertukar tangan, Salida tersenyum puas. Menatap wajah-wajah yang dirinduinya sedikit sebanyak menyulam perasaan kasih yang semakin sarat.

"Ida, kalau nak clear nanti kita transfer dalam PC ye." Ummu Rufaydah memberi cadangan.

"Syukran jiddan kak." Salida memeluk erat tubuh gempal Ummu Rufaydah. Air matanya tidak mampu dibendung, jatuh setitis demi setitis mutiara jernih di pipinya. Salida amat jarang menitiskan air mata, wataknya ceria dan sentiasa tersenyum.

"Afwan ukhti habibah. Hanya ini yang mampu akak usahakan buat Salida. Kak Ummu tak tahu nak bawa apa, jadi Kak Ummu fikir ada baiknya Kak Ummu ziarah Syakirah dan keluarga sambil snap gambar-gambar mereka."

"Kak... Tengok ni, Syakirah... Cerianya dia." Salida menukar nadanya supaya mereka tidak tenggelam dalam kesedihan.

"Memang Syakirah ceria, Kak Ummu bawakan buah-buahan pada Syakirah. Kak Ummu teringat Salida pernah cerita, Syakirah suka makan anggur. Jadi, Kak Ummu beli anggur 2 kg tau Ida!"

"Haa... 2 kg kak?"

"Iya... Syakirah seronok sangat tau dik."

"Alhamdulillah. Jazakillah kak... Ida tak tahu nak kata apa, moga Allah membalas kebaikan Kak Ummu dengan sebaik-baik pembalasan." Salida tersenyum, jarinya erat menggenggam tangan Ummu Rufaydah.

"Tak ada apa dik, sedikit sangat apa yang akak lakukan berbanding apa yang Ida berikan pada akak. Kemanisan ukhuwwah."

"Ida pun beruntung dapat sahabat seperti akak."

"Ida... Kak Ummu nak tanya ni... Betul ke Ida nak balik Malaysia. Haritu Kina YM dengan akak, cerita pada akak dan minta pendapat akak."

"Iya kak. Ida cadang nak balik Malaysia, nak bantu mak abah. Kalau tak mampu menolong pun sekurang-kurangnya Ida tak bebankan mereka untuk tanggung Ida di sini kak."

Ummu Rufaydah mengangguk.

"Iya dik, sebagai anak kita dituntut buat baik dengan ibubapa. Akak nak cakap dengan Ida, akak harap Ida tak kecil hati yer."

"Iya kak... tafaddhal."

"Haritu Kak Ummu berbincang dengan mak ayah kak Ummu. Alhamdulillah, ayah kak Ummu cadangkan agar Ida terus habiskan pengajian di sini. Insya Allah, perbelanjaan Ida disini akan ditanggung oleh mak ayah kak Ummu tapi ada syarat..."

Berkerut dahi Salida. Ditanggung? Syarat?

"Ya Allah kak, Ida tak nak lagi susahkan Kak Ummu."

"Bukan dik... Ini bukan susahkan akak. Hanya ini yang mampu kami bantu. Macam ni dik... Kalau Ida setuju, insya Allah mak ayah kak Ummu tanggung Ida di sini tetapi apabila Ida dah habis pengajian. Ida boleh bercuti dengan keluarga selama 2 bulan di rumah, jadi habis pengajian nanti Ida duduk di rumah 2 bulan dengan keluarga dan kemudian terus bekerja di Pusat Pengajian Al-Quran Al-Falah yang selalu Kak Ummu ceritakan tu. Kelas pengajian al-Quran yang dikelolakan oleh keluarga kak Ummu. Adik Ida yang lelaki, Farhan... Sekarang, dia kerja dengan ayah Kak Ummu di kedai buku dik. Malam, dia mengajar bahasa Arab untuk kanak-kanak. Alhamdulillah. Ida jangan susah hati lagi dik, kita teruskan pengajian di sini. Ayah kak Ummu pun dah cakap pada Farhan, kalau keputusan STAMnya bagus, insya Allah andai bumi ambiya' yang menjadi pilihannya maka ayah kak Ummu akan bantu biaya pengajiannya tetapi syaratnya nanti dia perlulah menjadi tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al-Quran Al-Falah!"

Sengaja Ummu Rufaydah menaikkan nada pada ayat 'tenaga pengajar'. Memang keluarga Ummu Rufaydah membiayai beberapa pelajar miskin di bidang agama, dengan harapan sebagai persediaan memperkasakan pusat pengajian mereka.

"Subhanallah. Allahuakbar. Kak... Ida tak tahu apa lagi yang nak cakap kak. Kalau tawaran itu yang kak Ummu berikan, insya Allah Ida terima dengan hati yang sangat bersyukur."

Salida memeluk erat Ummu Rufaydah. Pelukan dilepaskan. Ummu Rufaydah mengelap air mata Salida. Sakinah dan Maisarah yang sedari tadi hanya melihat 2 sahabat berpelukan turut sama mengelap air mata masing-masing. Mereka berempat tenggelam dalam pelukan erat. Kasih sayang yang terjalin diharapkan kekal hingga ke Negeri Abadi.

"Moga ukhuwwah kita kekal hingga ke alam sana." Salida melirih pada sahabat-sahabatnya, mengelap sisa air mata di kelopak mata.

"Amin..." Ummu Rufaydah, Sakinah dan Maisarah mengaminkan doa yang dilafazkan Salida sebentar tadi. Mudah-mudahan Allah terima doa mereka.
Ilahi Rabbi...
Dalam nafas yang bergetar
Tafakurku dirumpun sejadah insaf
temanilah...

aku mahu KAU hilangkan
resah yang membebaniku
sakit yang kutempuhi ini
aku mahu hilang bersamaMU..
tika embun menitis dan jatuh mengirai
mengejutkan rumput yang baru tidur
aku datang menyerahkan diri
dalam sujudku
temanilah diriku...

Ilahi Rabbi...
Tika mentari muncul tersenyum
terpanah jiwaku oleh kelukaan
milikkukah waktu yang cerah ini...?
atau mataku hanya teruji
oleh selaput yang meliputi
oleh sepasang mata yang telah banyak berdosa...
dan...aku cuba melarikan diri..
dari daerah hidup ini...
namun..terkeliru disimpang mana yang harus kulalui
sedang bekalan ditangan telah kosong
jatuh berciciran....

Ilahi Rabbi...
Tika senja berlabuh..menutup tirai sebuah cetera pedih...
ketemu bayang-bayang lesu amalanku
mampukah aku bangun dari rebah ini..
meredahi malam yang tidak pasti...
dan arah yang masih kucari...
dan...airmata pun berderaian...
dilereng-lereng sepi....!

Author:
SeraiWangi
Seawal empat pagi, dia telah bangun menghadap Tuhan pencipta. Yang menciptakan manusia begitu unik. Menganugerahkan berbagai-bagai keistimewaan serta kelebihan kepada seluruh makhluk melata dunia. Bagi orang yang berfikir menggunakan akal dan dipandukan iman akan menyedari pemberiaanNya itu hanyalah sebagai pinjaman untuk menguji manusia.

Sebelum waktu solat Subuh masuk, dia seorang penulis yang menulis mengikut caranya tersendiri. Tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Kadang-kadang penulisannya mengundang kontroversi! Pihak yang terasa pedas seringkali tercabar. Namun dia tidak pernah gentar kerana tulisannya benar! Aku bukan cari redha manusia tetapi redha Ilahi! Itulah prinsipnya ketika menulis.

Selepas fajar pagi terbit, dia bergelar seorang jurutera di sebuah syarikat terkemuka. Memerah otak, mengeluarkan idea-idea baru untuk memudahkan kehidupan manusia sejagat. Bukan senang hidup sebagai seorang jurutera. Kaum hawa pula tu. Kerjaya jurutera bukan hanya sekadar tugas. Ia salah satu mekanisma merealisasikan impiannya. Impian yang satu yang tak siapa tahu.

Di rumah, dia seorang isteri yang amat setia pada seorang suami yang begitu komited dalam kerja-kerja Islam. Anak-anak dididik dengan tegas, penuh kasih-sayang. Anak-anak aset yang sangat bernilai dalam usaha mencapai impiannya. Seawal usia anak-anaknya telah dipupuk minat membaca. Sekurang-kurang 200 ringgit sebulan duitnya diperuntukkan untuk membeli pelbagai jenis bahan bacaan - komik, majalah, buku-buku pelbagai bahasa untuk menjadi tatapan anak-anaknya walaupun masih kecil, tidak pandai membaca lagi.

Dia tidak pernah melarang anaknya untuk buat apa sahaja selagi tidak melanggar batas-batas syariat. Minat anaknya terhadap sesuatu perkara tidak pernah dikongkong malah dia akan turut menyokong kerana dia yakin setiap minat itu mampu memberi sumbangan kepada impiannya walaupun pada awalnya tidak nampak apa-apa kelebihan sekalipun.


Rumah dua tingkat sederhana besar itu terlakar segala kenangan terindah dalam hidupku. Sukar untuk melupakannya. Sungguh aku tak akan lupa! Sampai kapan pun! Di satu sudut, ditepi tangga untuk ke tingkat atas terdapat sebuah balang bulat yang terkandung di dalamnya gulungan kertas berwarna-warni. Menarik sekali. Setiap pagi sebelum kami adik beradik bersarapan, kami akan mengambil satu gumpalan kertas itu mengikut turn masing-masing.

“Yeah yeah hari ni turn alang… mama, mama nak alang amik warna ape? Alang amik warna kegemaran mama lah ye…” jelas sekali pagi itu Alang ingin bermanja dengan mama.

“Eleh, mengada-ngada!” Angah Muaz mengejek.

“Cepatlah amik. Tunggu apa lagi? Bukan tahu baca pun…” Sampuk Angah Muiz. Kembar Angah memang suka mengusik Alang.

Alang mengambil kertas berwarna purple. Warna kesukaan mama. Dia membuka kertas itu lalu berlari mendapatkan mama yang sedang menyediakan sarapan pagi.

“Mama, cepatlah baca…” sempat Kembar Angah menghalang Alang menghulurkan kertas tersebut kepada mama.

Keadaan setiap pagi di rumah itu sememangnya begitu. Kata-kata hikmah yang terdapat di helaian kertas itu akan menjadi motivasi kepada anak-anak mama sepanjang mengharungi perjalanan hidup pada hari tersebut. Kata-kata hikmah itu bukan sahaja mengandungi kata-kata dari ilmuan Islam, kata-kata filosof barat malahan juga hadith-hadith Rasulullah s.a.w serta ayat-ayat suci al-Quran. Waktu sarapan riuh-rendah dengan suara kami adik beradik. Kata-kata hikmah yang dicabut akan dijadikan sebagai topik hangat untuk dibincangkan pada hari itu. Sedari kecil lagi anak-anak mama telah dididik menghayati sunnah Rasulullah s.a.w. Mama berusaha menghidupkan sunnah Rasulullah dalam atmosfera rumah kami.

Cara mama mendidik anak-anaknya unik sekali. Mama tidak akan mendesak anak-anaknya untuk berbuat sesuatu. Mama beri dorongan dan galakan sehinggalah anak-anaknya tertarik melakukannya. Mama tidak mahu anaknya hanya bertaklid semata-mata. Mama mahu anak-anaknya berfikir terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu tindakan. Mama mahu anak-anaknya berfikir secara kreatif dan kritis. Mama mahu anak-anaknya buat sesuatu dengan kerelaan hati. Sebenarnya mama ingin melahirkan ulul albab dari kandungannya sendiri. Itulah yang aku rasakan selama aku hidup bersama mama.

Yang kutahu ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna bagi mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Golongan ulul albab mementingkan zikir dan fikir. Dalam konteks fikir, mereka suka mengkaji fenomena-fenomena yang berkaitan dengan kejadian alam. Ya, mama bercita-cita mendidik permata yang lahir dari cinta sucinya bersama kekasih pertama dan terakhirnya sebegitu.

Quran juga sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik adalah minda yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisis data dan fakta, serta mampu membuat andaian dan kemudiaanya konklusi kepada apa yang dicerap. Minda yang saintifik juga menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil. Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam kerana Islam menyuruh umatnya supaya tidak mengikut sesuatu yang tidak bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah al-Israk ayat 36 Allah menyatakan,
“Janganlah kamu mengikut sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya”.

Oh, rupa-rupanya mama menyahut seruan mukjizat Rasulullah itu.

Mama tegas dalam mendidik anak-anaknya. Mama sedaya upaya menjauhkan kehidupan permata hatinya daripada hedonistic life. Bukanlah mama tidak membenarkan langsung anak-anaknya menonton televisyen, berhibur. Mama tidak sekejam itu. Malahan kadang-kadang mama akan menonton movie bersama-sama kami adik beradik. Jikalau mama tidak sibuk di hujung minggu, mama akan turut serta menonton perlawanan bola sepak Barclay’s Premiere League. Live di astro! Mama juga berkunjung ke kedai CD dan DVD untuk membeli DVD filem-filem terbaru. Cakap filem apa, semua ada dirumah kami. Movie menjadi salah satu koleksi mama. Eh, bukan semua cerita kami dibenarkan menonton. Hanya filem-filem tertentu sahaja. Mama membeli semua cerita itu bagi mencari idea untuk memantapkan lagi isi penulisannya. Remote Astro bukan kuasa kami. Mama mengawal anak-anaknya. Macam mana nak lahirkan ulul albab jikalau anak-anak terdedah dengan joget, tarian, aksi-aksi lucah yang banyak dalam tv tu… Ish ish…. Masakan bisa? Kata orang Indonesia.

Biasanya selepas kami menonton filem, kami akan berbincang mengenai bagaimana filem itu dijalankan. Teknologi apa yang diguna. Selepas sesuatu perlawanan pula, kami akan menganalisa pelawanan tersebut. Misalnya, aku masih ingat dahulu Arsenal kalah mengejut kepada Tothenham 5-1. Mama tanya anak-anaknya bagaimana Arsenal boleh kalah kepada pasukan bukan pilihan? Mama suka anak-anaknya menganalisa sesuatu perkara. Dalam keluarga kami Arsenal merupakan pasukan favourite. Abi dan Alang minat Manchester United. Mama, Ateh dan kembar Angah ikut mama minat Arsenal. Aku pun penyokong Arsenal. Aku tahu mama mengagumi falsafah Arsene Wenger. Jangan tak tahu mama pernah menjadi penulis sukan sambilan ketika Piala Dunia. Oh, aku tak ingat tahun berapa. Mama pernah ditawarkan menjadi penulis sukan tetap tetapi mama menolak kerana mama ingin menjadi jurutera. Jurutera adalah cita-cita mama sejak kecil. Mama pernah di gam daripada menulis kerana kritikan mama terhadap FAM terlalu pedas. Mama oh mama.... rindunya aku padamu...

Setiap kali mama pulang dari urusan kerja luar, mama mesti membelikan sesuatu untuk anak-anaknya mengikut kesukaan kami. Robot mainan mama belikan khas untuk kembar Angah. Tambahan koleksi mereka berdua. Mama tahu benar kembar Angah sangat minat filem Transformers. Alang pula mama hadiahkan barang-barang anime. Penuh meja Alang dengan barangan Naruto, Sasuke, Kakashi, Gaara, Shikamaru. Yang Ateh mama belikan hadiah yang ada kaitan dengan bola. Faham benar mama terhadap Ateh yang gilakan bola itu. Aku, mama selalu belikan model-model kereta terkini. Mengumpul model kereta memang menjadi hobiku. Mama memahaminya.

Memang aku tak nafikan nak tak nak menjadi satu cabaran hebat bagi ibu bapa mendidik anak-anak dalam dunia yang serba canggih ini. Kegilaan manusia pada teknologi tidak dapat dielakkan. Artis terlalu diagung-agungkan dan diberi liputan meluas yang melampau tidak kira media elektronik mahupun media massa. Remaja masa kini megambil artis sebagai idola masing-masing walaupun artis tersebut secara terang-terangan melakukan maksiat. Namun mama berjaya menanam dalam minda anak-anaknya bahawa yang harus dijadikan teladan dan contoh adalah Rasulullah.

Mama berjaya membalut jiwa anak-anaknya bahawa Rasulullahlah satu-satunya manusia yang patut dipuji dan dipuja. Mama juga berjaya menyemai semangat dan cinta Rasulullah kepada Islam ke dalam beluran darah anak-anaknya. Pejuang-pejuang Islam yang hebat suatu ketika dahulu seperti Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Sheikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz Rantissi, Salahuddin Al Ayubi dan ramai lagi yang mesti dijadikan role-model. Sejarah mengenai mereka sudah lama kami mendengarnya.

Nama-nama tokoh-tokoh yang telah dimuliakan dengan syahid itu sering keluar dari mulut mama. Sambil mama melipat kain, menyusun buku, cerita sejarah mereka mama ceritakan kepada kami. Kehidupan kecil kami memang tidak lari daripada cerita seperti itu. Anak-anak mama telah menyelusuri perjalanan kekasih Allah itu sedari kecil. Sehinggakan kami bercita-cita ingin menjadi seperti mereka. Walaupun anak-anak mama baru berusia kanak-kanak tetapi mama berusaha membentuk pemikiran anak-anaknya jauh kehadapan.

Sejak dari kecil lagi kami telah diberitahu tujuan sebenar seseorang manusia itu hidup di muka bumi ini. Kita khalifah di muka bumi ini! Telah diamanahkan kepada kita untuk memakmurkan dunia ini. Kita memang ditakdirkan menjadi pemimpin di muka bumi ini! Terngiang-ngiang sehingga kini kata-kata mama. Walaupun pada ketika itu, kami adik-beradik masih tidak memahaminya tetapi kami merasai amanah tersebut berat dipundak. Walaupun kami suka hero-hero televisyen seperti Superman, Batman, Spiderman tetapi kami dapat melihat Khalid al-Walid lebih hebat daripada Superman. Sayyidina Ali lebih tangkas berbanding Spiderman. Umar al-Khatab lebih gagah berbanding Batman.

Kami tetap menjadikan Khalid al-Walid, Sayyidina Hamzah, Umar al-Khatab serta sahabat-sahabat nabi yang lain sebagai hero. Kata mama, kita berasal dari syurga. Rumah kita sebenarnya di syurga. Sekarang ini kita sedang menuju untuk pulang ke tempat asal. Walau bagaimanapun kita tak tahu kita akan sampai atau tidak. Takut-takut kita tersilap jalan lalu sesat...

Jikalau kita ingin selamat sampai ke destinasi yang dituju, kita harus menjadikan sahabat-sahabat nabi itu sebagai hero bukannya Superman, Batman, Spiderman. Jikalau kita ingin menjadi hero, kita mesti menjadi seperti Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Salahuddin al-Ayubi yang kaya ilmu dunia akhirat… Kata mama lagi, kita mesti menjadi hero yang dapat dunia dan akhirat. Kedua-duanya sekali. Bukan dunia sahaja macam hero-hero yang dalam tv. Sebelum tidur, kami selalu bayangkan betapa hebatnya sahabat-sahabat nabi dan pejuang-pejuang yang telah gugur syahid itu.

Sejarah yang diceritakan mama sering terbayang diminda kami seolah-olah sebuah layar putih yang menayangkan sebuah filem. Alang yang sangat minat anime Naruto sering tertanya-tanya tentang Khalid al-walid selepas dia menonton anime Naruto. Aku lihat Alang selalu berfikir apa yang dikatakan mama mengenai kehebatan kepahlawanan Khalid sambil matanya memandang poster besar Naruto dan Sasuke yang terlekat di dinding sebelah katilnya. Dia sangat suka Sasuke. Dialah orang pertama yang marah apabila Sasuke jadi jahat akhirnya. Mulut mama memang ringan bercerita. Bak kata nakal Angah, mama mesra alam. Ada sahaja cerita yang mama ingin kongsikan. Selalunya kisah-kisah teladan, kadang-kadang lawak tapi semuanya ada manfaat. Kadang-kadang cerita berat tetapi mama ringkaskan dan permudahkannya supaya anak-anaknya yang masih kecil faham.

Yahya Ayyash…….
Mama menggelar kembar angah Muaz dan Muiz sebagai Yahya Ayyash. Kembar Angah hairan mama memanggil mereka dengan panggilan begitu. Kalau mama panggil dengan panggilan Yahya Ayyash, maknanya mama panggil keduanya sekali. Mengapa mama panggil mereka begitu? Mama bercerita tentang Yahya Ayyash. Yahya Ayyash merupakan seorang pemuda Palestin yang telah berjinak-jinak dengan perjuangan HAMAS sedari muda lagi. Beliau adalah salah seorang pemimpin muda Briged Komando al-Qassam, sayap ketenteraan gerakan HAMAS Palestin.

Beliau telah lulus dengan cemerlang dari Universiti Beir Ziet, pada tahun 1988 dalam bidang kejuruteraan elektrik. Seorang pakar bom dan pakar strategi serangan-serangan ke atas konvoi-konvoi tentera rejim Zionis. Beliau telah melatih seramai 200 orang komando untuk mencipta bahan letupan dari bahan-bahan mudah seperti gula, ubat batuk dan bahan-bahan kimia yang boleh didapati dari farmasi. Sahabat-sahabatnya menggelarnya al-muhandis! Beliau menjadi orang buruan Shin Bet, badan perisikan rejim Zionis yang bertanggungjawab membunuh pemimpin-pemimpin Palestin.

Beliau juga pernah hidup selama dua tahun sebagai rabbi yahudi ortodoks hingga tidak dapat ditangkap oleh pihak perisikan rejim. Kejayaan beliau dalam operasi peperangan telah mengorbankan ratusan tentera rejim Zionis ditangan komando al-Qassam. Beliau menjadi sumber inspirasi pemuda Palestin bahawa mereka boleh mengalahkan tentera Yahudi walaupun dalam serba kekurangan.

Bukanlah mama ingin kembar Angah menjadi Yahya Ayyash sepenuhnya tetapi mama mahu Angah Muaz dan Angah Muiz mencontohi semangat dan cinta Yahya Ayyash pada Islam sehingga sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk mempertahankan Islam.

Kembar angah sangat minat perkara yang berkaitan dengan elektrik dan elektronik. Mereka berdua suka membuka barangan elektronik yang dah rosak misalnya televisyen, computer, radio, peti sejuk dan lain-lain. Mereka membukanya dan mengambil komponen-komponen yang masih boleh diguna pakai kemudian mereka mereka sesuatu yang baru. Itulah hobi Si Kembar Angah keluarga kami dan mereka menggilanya. Ya, mereka berdua bercita-cita menjadi jurutera. Oleh sebab itu mama menggelar mereka sebagai Yahya Ayyash al-muhandis. Mama berjaya menghidu bakat terpendam setiap anak-anaknya. Gayanya mama macam seorang pengurus pasukan bola sepak yang berjaya mengenalpasti keupayaan setiap pemainnya sedari muda. Kemudian melatih pemain itu sehingga menjadi bintang bergemerlapan di pentas bola sepak. Mungkin mama meniru cara Arsene Wenger. Haha... mama mama...

Bagi aku, mama wanita terhebat abad ini. Bukan kerna dia mamaku. Bukan kerna aku anaknya. Aku pasti sesiapa yang mengenalinya akan mengiakan kenyataanku ini. Aku berani bertaruh dalam hal ini! Jikalau ada yang bertanya siapa sahabat baikku di dunia ini, sudah tentu aku akan menjawab mama! Mama rafiq yang paling akrab denganku di dunia ini. Dalam bahasa mudahnya, mama is my best friend. Sewaktu di universiti dahulu, teman-teman sebilikku terkejut bila aku beritahu yang aku sedang bergayut dengan mama.

Mereka semua ingatkan yang aku sedang bergayut dengan seorang kawan. Aku boleh berdiskusi pelbagai isu dengan mama. Apa-apa sahaja. Hal isu-isu semasa, konflik dunia, politik malahan sukan dan filem pun boleh. Sehinggakan projek akhir ku di universiti pun aku meminta pandangan mama. Aku tahu bukan aku seorang sahaja yang menganggap mama sebagai teman baik, adik-adikku yang lain pun sama. Ada kalanya kami adik beradik berebut-rebut untuk menghubungi mama. Jikalau menghubungi mama pasti tidak mengecewakan. Ada sahaja idea-idea bernas dari pelbagai perspektif yang keluar dari mulut mama dan yang pasti mama akan memulakan dari sudut pandangan Islam.

Sepanjang aku hidup bersama mama, belum pernah ku melihat mama membuang masa. Mama bekerja keras sepanjang hari. Demi anak-anak dan impiannya. Agaknya mama tak sedar dia menghidap penyakit kronik itu sehingga boleh membunuhnya. Kesibukannya mengejar impian membuatkan dia lupa. Mungkin! Kami adik-beradik juga tidak menyangka mama menghidap penyakit itu kerana mama amat menitik beratkan soal kesihatan. Sedari kecil mama mendidik anak-anaknya makan makanan berkhasiat. Tapi mengapa? Mengapa ya Allah?? Mengapa mesti mama yang pergi dahulu? Aku boleh kehilangan dunia ini seisinya tetapi tidak mama. Mama sumber kekuatanku! Mama pencetus ilhamku! Mama pembakar semangatku! Kebijaksanan mama inspirasi kejayaanku! Aku butuhkan mama. Aku benar-benar memerlukan dia di dunia ini.

Pemergian mama amat berat sekali untuk ku terima. Aku sangat berharap ianya hanya sekadar mimpi ngeri. Bila aku sedar waktu dinihari ianya akan menjadi seperti sediakala. Tapi itu sesuatu yang mustahil! Aku mesti redha dengan ketentuan ini. Hidup dan mati telah ditetapkan. Terngiang-ngiang ditelinga sepotong ayat surah Yunus ayat 49 yang pernah keluar daripada mulut mama. Maksudnya: “ Bagi setiap umat mempunyai ajal. Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan walaupun sesaat.....”.
Walaupun hayat mama tidak panjang tetapi mama berjaya membina sekumpulan ulul albab hasil daripada implementasi pendidikan Rabbani dalam kehidupan anak-anaknya sejak dalam kandungan lagi.

Mama… aku begitu bangga menjadi anakmu... Mama tidak henti-henti menuntut ilmu. Semangatnya dalam menimba ilmu amat mengagumkan. Selepas satu, satu ilmu lain yang mahu diterokainya. Keinginan mama untuk menjalankan penyelidikan mengenai bola sepak di luar negara, mendapat bantahan daripada Abi. Abi tidak membenarkan mama pergi lebih-lebih lagi mama mengandung pada waktu itu. Namun, mama nekad nampaknya… dia tetap mahu menyiapkan tesisnya dalam bidang pengurusan sukan di Italy.

Aku pun tidak tahu bagaimana mama berbincang dengan Abi sehingga Abi membenarkan dia pergi tetapi dengan beberapa syarat. Syarat yang hanya mereka berdua sahaja yang tahu. Akhirnya mama melahirkan anak kelimanya disana… Sebuah negara Eropah yang memang terkenal dengan permainan bola sepak yang kreatif dan cantik, tempat kelahiran adikku yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya. Gara-gara mama membuat research semasa sedang hamil, menyebabkan adikku sangat berminat dalam sukan itu. Susuk tubuhnya juga tidak menampakkan dia orang Asia. Wajah dan susuk tubuhnya bagaikan orang Eropah. Mungkin benar kata orang Negeri Sembilan, ‘ngonan’.

Aku masih ingat, adikku yang keempat itu sangat suka menonton perlawanan bola sepak dan akan menangis seandainya kami ingin menonton channel lain walaupun pada ketika itu dia masih belum pandai bercakap. Ketika dia berumur empat tahun, seringkali dia mengajak Abi pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium. Tapi, permintaannya itu ditolak mentah-mentah oleh Abi. Abi tidak mahu anak-anaknya melakukan kerja yang sia-sia, yang tidak membawa apa-apa sumbangan kepada Islam. Abi mahu anak-anaknya menjadi ilmuwan Islam dan berjuang dalam perjuangan Islam.

Seorang wartawan sukan yang membantu mama semasa menjalankan penyelidikan di Italy dan merupakan isteri kepada seorang bekas pemain bola sepak datang bercuti di Malaysia. Ketika dia menziarahi kami sekeluarga, dia melihat adikku mempunyai bakat yang sangat besar dalam bola sepak. Dia begitu tertarik dengan adikku. Lagi-lagi dia tidak mempunyai anak lelaki. Permintaan untuk mengambil adikku sebagai anak angkat dan keinginan untuk mengasah bakat Ateh ditolak keras Abi. Abi sangat-sangat tidak bersetuju. Mana mungkin anak yang menjadi harapannya dilatih untuk menjadi seorang pemain bola sepak dan dijaga oleh seorang yang bukan beragama Islam. Mama hanya mampu mendiamkan diri.

Kalau ikutkan secara logik, memang relevan tindakan Abi. Apabila Ateh berusia 8 tahun, minat Ateh dalam bola sepak semakin terserlah. Kemuncaknya, minat Ateh dalam sukan itu seakan-akan terkubur setelah Ateh ‘kantoi’ ponteng kelas Al-Quran semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium. Sebelum ini Abi membenarkan Ateh berlatih bola sepak pada waktu petang tetapi mesti ke kelas Al-Quran pada sebelah malam.

Kesalahan ponteng kelas semata-mata kerana bola menyebabkan Abi hilang sabar. Ateh tidak dibenarkan lagi mempunyai sebarang kaitan dengan bola! Itulah hukuman Abi untuk mengajar anaknya. Adikku itu terlalu degil dengan minatnya. Walaupun kami adik-beradik yang lain nakal dan degil, tetapi tidaklah sedegil adikku yang minat bola sepak itu! Kadang-kadang aku tergelak apabila terkenangkan adikku yang seorang itu.

Pernah guru kelas Ateh mengadu pada mama dan Abi, Ateh selalu tidur dalam kelas. Aku hanya mendiamkan diri walaupun aku tahu Ateh sering menonton bola hingga lewat malam kerana ketika itu musim Piala Dunia. Apabila rahsia Ateh menjadi kelawar ketika musim demam bola melanda, Abi benar-benar berang. Kami tidak dibenarkan lagi menonton tv!! Rajuk Ateh panjang. Dia hanya membisu sahaja. Mama amat terasa dengan perubahan Ateh. Air mata mama berjujuran apabila membaca coretan luahan hati Ateh… dia benci Abi kerana Abi tidak membenarkan dia bermain bola sepak. Kenapa Abi tidak faham akan minatnya itu. Mama mengerti perasaan Ateh. Ateh tidak sebijak abang-abangnya yang mana mereka sudah boleh menghafaz beberapa juzuk Al-Quran ketika seusia Ateh. Aku tahu Abi juga bersedih lebih-lebih lagi apabila anaknya itu membenci dirinya.

Pada suatu pagi, aku terjaga pada awal waktu dan aku terdengar suara Abi sedang berdoa di bilik solat. Abi berdoa agar terbuka pintu hati Ateh untuk mendengar kata-katanya… dan Abi meminta petunjuk daripada Allah S.W.T apa yang patut dilakukannya dalam permasalahan Ateh. Dia tak mahu Ateh terus-terusan membenci akan dirinya. Sikap membisu Ateh amat meresahkan Abi. Pada ketika itu mama sedang berkursus ke luar negara. Aku tidak menyangka mama merancang sesuatu tanpa diketahui oleh sesiapa termasuk jua Abi. Mama telah berjumpa dengan bekas pemain Italy yang mahu melatih Ateh serta berbincang dengan seorang guru agama negara tersebut tentang masalah Ateh. Begitu mama memahami anak-anaknya. Mama mahu Ateh berguru dengan ulama itu dan berlatih bola sepak dengan bekas pemain kebangsaan Italy yang telah bersara itu. Ya, mama tidak mahu menghalang setiap minat anaknya!

Pada awalnya, Abi tidak bersetuju tetapi apabila mama menunjukkan rancangan jangka panjang untuk menjamin masa depan Ateh menyebabkan Abi tertarik. Impian mama dan Abi sama tetapi method dan cara pemikiran mereka amat berlainan. Walaupun Abi menikahi mama kerana tertarik dengan cara pemikiran mama yang lain daripada yang lain itu.

Mama terus bekerja keras untuk menampung perbelanjanan Ateh di sana walaupun keluarga angkat Ateh tidak mahu bayaran apa-apa kerana mereka telah menganggap Ateh sebagai anak mereka sendiri. Abi juga begitu. Aku tahu mama dan Abi bukan sewenang-wenangnya menghantar Ateh ke sana. Terpaksa menanggung rindu seharian, rindu pada ulah nakal Ateh yang malas belajar, malas mengaji al-Quran tetapi sangat bijak mengambil hati mama dan Abi. Aku sangat yakin mama dan Abi buat begitu semata-mata untuk Islam. Aku begitu yakin walaupun aku tidak dapat bayangkan bagaimana.

Akhirnya, Ateh menjadi kebanggaan mama dan Abi… Walaupun baru berusia 16 tahun, Ateh menjadi penyerang utama dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan Italy untuk merangkul Piala Dunia. Dia merupakan pemain termuda yang akan membawa cabaran tersebut di persada antarabangsa dalam kejohanan yang paling berprestij itu. Ramai pemain-pemain yang telah menjadi lagenda memuji bakat yang dimiliki Ateh. Yang paling bermakna, kasut emas yang diidamkan oleh setiap pemain menjadi milik Ateh. Kepopularan Ateh mengalahkan selebriti… Ateh terkenal di seluruh pelusuk dunia bukan hanya sebagai pemain bola sepak yang handal tetapi menjadi model iklan syarikat-syarikat terkenal.

Walaupun Ateh sudah bergelar jutawan diatas bayaran perpindahannya ke kelab England yang bernilai jutaan ringgit, Ateh tidak membelanjakan wang tersebut dalam kehidupan sehariannya. Perbelanjaan hariannya tetap ditanggung oleh mama dan Abi. Itulah perjanjian Ateh dengan mama dan Abi kerana Abi tidak mahu Ateh menggunakan duit yang tidak tahu mana datangnya dan Ateh bukan tidak tahu perpindahan pemain menjadi bisnes kapitalis yang dimonopoli Yahudi. Apabila meningkat dewasa baru Ateh sedar yang dia bermain bola sepak bukan hanya sekadar minat semata-mata tetapi kerana dakwah Islam! Ya, dia mesti menggunakan setiap peluang yang ada untuk tujuan dakwah.

Bermain di England amat menggembirakan dirinya. Malam Ateh akan belajar melalui pembelajaran jarak jauh. Ateh mewajibkan dirinya untuk solat secara berjemaah di masjid waktu solat Subuh. Dia yakin, pengaruh bola sepak sangat berkuasa seluruh dunia dan dakwah mesti berjalan di situ. Dia nekad untuk menyusun strategi dakwah dalam arena bola sepak yang memberi keuntungan besar kepada syarikat-syarikat kapitalis. Akhlak Islam yang ditunjukkan Ateh menjadikan Ateh bukan sahaja disayangi oleh golongan remaja, malahan orang tua dan juga kanak-kanak.

Wartawan dan paparazzi mengejar Ateh untuk mencari bahan berita kerana Ateh pada ketika itu sangat popular mengalahkan selebriti. Kerja harian Ateh sentiasa menarik perhatian umum. Populariti Ateh semakin meningkat setelah wartawan berjaya menghidu aktiviti amal Ateh pada setiap hujung minggu. Ateh tidak menggunakan kemewahan yang ada untuk membeli kereta-kereta mewah seperti pemain-pemain kaya yang lain tetapi Ateh menggunakan duit tersebut untuk kerja-kerja amal. Lama kelamaan, Ateh menjadi idola setiap masyarakat dunia…

Strategi dakwah berjalan… Ateh cuba sedaya upaya mempromosikan gaya hidup Islam sepenuhnya!! Ramai juga kawan-kawan sekelab memeluk Islam. Mereka bersatu pemikiran dan tenaga menggunakan kekayaan mereka membuka perniagaan yang pelbagai bagi menyaingi syarikat-syarikat besar Yahudi. Walaupun banyak rintangan, dia berjaya… Dia tahu, nyawanya terancam, diugut bunuh, namun dia tetap teruskan ….

Mama…Abi… pengorbanan kalian berbaloi kini… perancangan aneh mama berjaya… walaupun tak sepenuhnya, tapi… mungkin suatu hari nanti umat Islam akan mengambil alih bisnes bola sepak dan menjalankannya mengikut syariat… Allahuakbar!

Kini aku sudah bergelar seorang CEO di sebuah syarikat pembinaan. Firma kami adik beradik telah diberi kontrak sepenuhnya dalam pembinaan sebuah stadium baru di England. Kembar Angah bergabung tenaga sebagai engineer. Manakala Alang arkitek muda yang terkenal dengan idea baru yang kreatif. Kontrak pembinaan stadium itu kami dapat gara-gara pengaruh Ateh. Alang telah mendesign sebuah musolla kecil dalam stadium tersebut. Pada awalnya memang dapat tentangan yang hebat disebabkan musolla kecil itu. Ianya menjadi satu isu yang besar. Tetapi akhirnya kami berjaya! Ini kerana kami mendapatkan khidmat seorang peguam hebat. Adikku yang bongsu. Musolla kecil itu dapat menunjukkan di seluruh dunia yang agama Islam itu fleksibel… gembiranya tidak terkata….

Mama, Abi… aku bangga menjadi anakmu. Kami adik-beradik tidak akan jadi sehebat ini jikalau tidak kerana mama dan Abi. Kejayaan kami ini semua gara-gara keunikan didikan mama. Mama, Abi… Hebatnya perancangan kalian berdua. Golongan kuffar tidak akan berjaya menghalang perkembangan Islam. Islam akan tertegak walau diceruk mana sekalipun. Itu sudah pasti!!!

Mama, Abi… Aku merindui kalian… Rindu sangat-sangat…

Hatiku kepingin benar rasanya hidup berdua. Ingin sekali aku miliki wanita yang mempunyai pemikiran hebat seperti mama. Alangkah bahagianya anak-anakku nanti. Sudah tentu anak-anakku akan menjadi orang yang hebat seperti anak-anak mama. Bisakah kuketemu wanita seperti itu? Di dunia yang mengamalkan hedonictic life ini?! Bisakah?! Bisakah?! Jikalau aku menjumpai wanita seperti mama, akan terus ku meminangnya tanpa tangguh-tangguh lagi! Akan ku berjuang mendapatkan cintanya. Akan kukorbankan apa sahaja demi memastikan dialah bakal ibu kepada anak-anakku kelak! Akan ku berdoa sungguh-sungguh agar Allah menghadiahkan wanita itu kepadaku. Namun sehingga kini wanita persis mama masih belum kutemui…
~ Umar Huzaifah~

Umar Huzaifah menoktahkan luahan rindunya pada mama… coretan itu ditulis khas untuk Lisa Knowles, wartawan muda yang tidak jemu-jemu menulis perihal mereka adik-beradik. Pada awalnya Umar malas hendak melayan tetapi dia tewas dengan semangat wartawan muda berani, Havard fresh graduate itu. Mungkin juga Umar rasa terhutang budi pada Lisa disebabkan Lisa banyak membantu ketika isu musolla kecil dalam stadium dapat tentangan hebat pelbagai pihak. Lisa Knowles lah satu-satunya wartawan bukan Islam yang menulis secara adil dan saksama.


Lisa terpegun setelah habis membaca e-mail coretan Umar Huzaifah yang baru diterimanya semalam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Hatinya masih lagi tertanya-tanya itukah rahsia adik-beradik yang berjaya mencipta sejarah tersendiri itu?? Wow, rupa-rupanya kejayaan mereka berpunca daripada seorang wanita... sukar mempercayainya...

Lisa yang merupakan seorang wartawan tidak jemu-jemu memburu adik-beradik itu bagi mencungkil apakah rahsia disebalik kejayaan gilang-gemilang mereka. Adik-beradik itu tetap membisukan diri. Mungkin mereka ada alasan tersendiri untuk merahsiakannya. Lisa pun tidak tahu mengapa dia sungguh-sungguh ingin mengetahui rahsia tersebut. Keinginannya itu bukan faktor dia seorang wartawan tetapi lebih bersifat peribadi. Hatinya seolah-olah meronta-ronta untuk mengetahuinya. Akhirnya CEO muda yang diminati Lisa itu membuka rahsia. Itupun dia memberitahu Lisa kerana menganggap Lisa sebagai seorang sahabat bukannya wartawan! Lisa tahu maksud lelaki yang mempunyai aura tersendiri itu. Namun, perenggan terakhir coretan Umar Huzaifah itu mengecewakan hati kecil hawanya...

Hasil nukilan,
LaBuORenZ
2008
labuorenz@yahoo.com
(...fiksi semata-mata...) :)

Sakinah menguak jendela disisi katilnya, menghirup udara pagi sambil melihat alam indah ciptaan Tuhan. Hatinya menghiasi alunan asma' Allah, dalam nada yang perlahan dilantunkan zikir-zikir memohon petunjuk Ilahi dalam derap langkah kaki yang semakin perlahan. Lidahnya masih diam, fikirannya masih lagi ligat berputar mencari jawapan yang diharapkan dari Allah taala.

Sakinah masih menikmati 'sarapan' pagi berlaukkan alam ciptaan Allah, sesekali derap nafasnya ditahan-tahan agar udara memenuhi ruang paru-paru, ketenangan dirasai. Hatinya semakin tenang, jiwanya semakin lapang dan pastinya Sakinah tersenyum melihat keletah burung yang singgah di atas pokok sisi biliknya. "Subhanallah."

Maisarah menghampiri Sakinah yang sedari tadi asyik melihat keindahan ciptaan Allah, musim bunga di Bumi Ambiya' sedikit sebanyak memberi kalungan bunga di hatinya. Indah, begitu hebat aturan Ilahi.

"Kak Kina, Sarah dah siapkan sarapan. Jom makan."

Sakinah memandang Maisarah dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Sudah 2 tahun mereka bermukim di negara asing, jauh dari sanak saudara demi mengaut ilmu-ilmu di lubuk Ambiya', merasai kemanisan dan keberkatan tanah yang pernah dihuni para solihin. Sahabat-sahabat adalah pengganti ketiadaan ayah bonda, sahabat-sahabat saling berpegang dan bergandingan bahu di sini. Tanah Ambiya', bumi penuh keberkatan.

Sesuap nasi masuk ke mulut Sakinah.

"Sarah, mana datangnya belacan ni? Sedapnya nasi goreng Sarah, kak Kina baru berhajat nak minta emak kirimkan belacan pada Kak Ummu. Kak Ummu balik sini minggu depan kan?"

"Eh, kak Kina lupa ke semalam Ustaz Naim hantarkan barang-barang yang Sarah kirim pada emak. Emak kirim semua makanan, nak suruh kita makin besar agaknya."

"Ustaz Naim baru sampai ke?"

"A'ah... Itu yang pagi ni Sarah buat Nasi Goreng Kampung, letak belacan lagi. Kesian Kak Ida nanti bersin jer la sepanjang hari."

Salida yang dari tadi menikmati sarapan tersenyum mendengar bicara ahli baitnya. Sakinah, Maisarah, Salida dan Ummu Rufaydah mendiami rumah kecil itu. Walaupun tidak mewah dengan perabot dan kelengkapan tetapi mereka mewah dengan kasih sayang dan sikap prihatin sesama mereka. Ukhuwwah yang mengharapkan keredhaan Allah di samping ikatan yang didoakan panjang hingga ke alam akhirat. Mereka mengasihi bukan mengharap balasan tetapi kerana hati yang sarat dengan kasih sayang.

Maisarah yang paling muda tetapi dia yang paling gemar memasak. Ummu Rufaydah yang paling tua dan dia yang paling manja diantara semua kerana Ummu Rufaydah dilahirkan hanya puteri tunggal dalam keluarga. Salida dan Sakinah sudah akrab sedari di sekolah menengah dan mereka mengukuhkan ikatan persahabatan mereka di bumi asing.

"Lepas breakfast kita pergi Masjid Umawi, nak?"

Salida memberi usul. Kebiasaannya waktu pagi mereka manfaatkan dengan muraja'ah.

"Kina nak ikut Ida. Sarah nak ikut tak?"

Sakinah melonjak riang, setiap kali merindukan emak dan abah memang Masjid Umawi menjadi tarikan di Bumi Damsyik ini. Tempat Sakinah meluahkan rindu pada emak dan abah, terkadang solat sunat di Masjid Umawi cukup memberi ubat mujarab pada Sakinah mengubati rindunya.

"Sarah bukan tak nak ikut tapi Sarah dah janji dengan Amirah nak jumpa dia pagi ni. Tak per la, Kak Kina dan kak Ida pergi dulu. Nanti kalau selesai urusan dengan Amirah, Sarah pergi Masjid Umawi. Kalau tak sempat, tak jadi la ye."

**********************

Sepuas-puasnya Sakinah memohon doa pada Rabbi dengan sepenuh hati. Segala isinya diluahkan di tikar sejadah di sisi masjid. Salida bermain-main dengan dua orang anak kecil warga Arab, cantik macam patung. Hati Salida masih belum tetap dengan apa yang diputuskannya, tiada siapa di antara sahabat-sahabatnya mahupun ahli bait yang mengetahui keputusannya namun Salida masih mahu istikharah dan terus meminta petunjuk dari Allah.

"...Moga yang terbaik untukku, agamaku dan keluargaku ya Allah..."

Rancaknya bermain dengan kanak-kanak Arab, riang wajahnya tak terlakar peritnya duka di hati. Mungkin ujian ini sudah dirasakan terlalu besar untuknya sedangkan ujian ini terlalu kecil dibandingkan dengan insan-insan yang lebih malang darinya. Entah bicara apa yang ingin Allah sampaikan padanya, entah maksud tersirat apa yang mahu Allah izinkan dia selidiki, segalanya diserahkan kepada Allah yang Maha Berkuasa mentadbir alam sebaik-baiknya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segalanya. Itulah yang sentiasa dibasahkan pada hatinya agar tidak kering dengan kemarau ujian. Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya, berdoalah kepada Allah dengan hati yang rendah.

Sakinah mengelap sisa airmatanya yang tumpah, dihampiri sahabat yang sedari tadi bermain dengan anak-anak Arab.

"Ida, maafkan Kina ye. Lama pula."

"La ba'sa, Ida pun seronok main dengan mereka. Ibu mereka masih berhalaqah di sana. Kina dah terubat?"

Sakinah hanya tersenyum dan mengangguk sambil membetulkan kain niqabnya yang dibuka tadi.

Salida sudah maklum dengan sahabatnya, andai rindu pada keluarga di tanah air maka Masjid Umawi menjadi tempat untuk mereka meluahkan rindu. Bukan di rumah tidak dapat membisikkan rindu tetapi rindu mereka terubat apabila dapat meluahkan segalanya di atas tikar sejadah. Allah saja yang lebih mengetahui tersiratnya. Damai dan tenang di dalam Masjid Umawi seakan dapat melupakan kerinduan di hati mereka.

Ummu Rufaydah beruntung dilahirkan dalam keluarga yang agak senang. Asal rindu menapak hati, pastas ibubapanya memasukkan sejumlah wang untuk memesan tiked pulang ke tanah air. Hampir setiap tahun sepanjang bermusafir di bumi Ambiya' ini Ummu Rufaydah pulang ke tanah air, hanya sekali yang ibubapa Ummu Rufaydah berziarah ke perlembahan Syam dan kemudian Ummu Rufaydah mengikut ibubapanya pulang ke tanah air.

Salida tidak cemburu, masakan dia cemburu pada sahabatnya. Berkongsi bahagia melihat sahabatnya bahagia.

********************

"Kina... Ida nak bagitahu Kina, nak minta pandangan dan nasihat dari Kina. Ida dah istikharah tetapi hati Ida masih berbolak balik, belum betul-betul tetap. Kalau Kina tak keberatan, Ida nak nasihat dari Kina."

Sakinah merenung anak mata Salida, dia maklum sahabatnya memang sukar untuk diramal. Sesekali dia sendiri tidak mampu untuk membaca gerak langkah dan perasaan sahabat akrabnya. Salida seorang yang tidak suka bersedih dan bermuram durja hatta ujian menyinggah pada kamus hidupnya. Salida seorang yang gemar senyum dan akhlaqnya sangat menyenangkan insan sekelilingnya.

"Kenapa, Ida ada masalah? Insya Allah, Kina usaha untuk bantu Ida apa yang mampu. Selebihnya Kina hanya mampu berdoa pada Allah agar memudahkan urusan Ida."

Salida tunduk, membuang pandangan jauh. Dikuis-kuis pasir di hujung kasutnya, nafas ditarik sedalam-dalamnya.

"Kina... Ida nak balik Malaysia."

"Kenapa?"

"Adik bongsu Ida disahkan leukimia sudah tahap serius. Mak tak nak bagitahu Ida sebab tak nak Ida sedih tapi minggu lepas Ida talifon rumah, semuanya susah nak cakap. Sekarang, adik Ida di ICU. Kos rawatan adik tinggi. Ida rasa mak dan abah tak mampu nak sara Ida disini lagi Kina, Ida pun tak nak bebankan mereka lagi. Kalau Ida balik Malaysia, sekurang-kurangnya kos untuk Ida disini boleh digunakan untuk biaya adik dan Ida boleh bekerja untuk membantu abah. Kina tahu kan, keluarga Ida bukan senang. Ida disini dengan ihsan keluarga. Abang dan kakak Ida sudah berkeluarga dan ada masanya mereka juga memerlukan duit untuk keluarga."

Sakinah menggenggam jemari halus sahabatnya. Begitu besar ujian yang Allah berikan padanya namun masih berperwatakan riang. Tiada tanda sedih dan duka namun hatinya Allah jualah yang lebih mengetahui.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Ida betul nak balik? Tak ada cara lain ke? Kalau Ida balik pun belum tentu semua kos rawatan adik Ida dapat ditanggung. Ida, maafkan Kina kalau Kina tak peka dengan keadaan Ida. Kina tak tahu Ida menanggung ujian sehebat ini. Ahli bait yang lain tahu masalah ni?"

"Tak, Kina orang pertama yang tahu. Ida tak tahu nak cari jalan lain, sekurang-kurangnya kalau Ida balik nanti mak ayah tak perlu hantar duit, wang saku bulanan yang kakak dan abang hantar pun boleh digunakan untuk rawatan adik. Entahlah Kina, Ida sendiri masih belum cukup kuat untuk menghadapi keputusan ini. Ida dah istikharah, hati Ida makin teringat pada adik tetapi Ida juga sayang nak tamatkan study di bumi Syam."

Sakinah memeluk erat sahibah yang dikasihinya kerana Allah dan Rasul Nya. Pelukan kasih sayang dari seorang teman, moga menenangkan resah di hati seorang teman.

... bersambung, insya Allah ...

“Isy, Ira ni. Tak baiklah buat macam tu. Mesti bengang si Bukhari tu Ira tak layan dia.”

“Biarlah siapa suruh. Ingatkan pak lebai macam dia tu tak layan perempuan. Gatal jugak rupanya.”

“Isy Ira ni. Tak baik cakap macam tu. Entah-entah waktu tu dia betul-betul nak minta maaf ke,” Alice bersuara lagi.

“Ira pun fikir macam tu juga. Rasa tak baik buat macam tu. Jadi malam tu, Ira replylah sikit SMS dia.”

“Wah, reply jugak. Ingatkan tak nak layan si Bukhari tu.”

“Alah malam tu je Ira reply sms dia. Lepas tu sampai masuk UIA Gombak takde lah.”

“Ooo macam tu. Tapi Ira belum cerita lagi kenapa Ira dengan mak Ira marah sangat dengan dia.”

“Hmm,” Humaira seakan mengeluh.

Alice hanya memandang ke arah wajah Humaira.

“Alice percaya ke kalau Ira cerita kenapa Ira benci sangat dengan dia.”

“Mestilah, kenapa pulak tidak,” jawab Alice.

“Ira pun macam tak percaya yang Bukhari macam tu. Tak sangka budak baik macam dia sanggup buat benda tak elok macam tu.”

“Apa yang Bukhari buat Ira?” soal Alice tidak sabar.

“Lepas masuk UIAM Gombak tu, Bukhari adalah jugak sms-sms Ira. Dia selalu ajak Ira pergi kuliah-kuliah agama yang ada dekat UIA tu. Ira sukalah jugak dapat sms dari dia.”

“Oo macam tu.”

“Tapi, ada satu hari tu sms dia lain macam sikit.”

“Hah apa yang lain tu Ira, ceritalah.”

*****

Malam itu Humairah sedang membuat latihan Business Mathematicnya.
Jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Ada sms yang masuk. Mesej dari Bukhari. Humaira tidak merasa apa-apa. Mungkin esok ada kuliah agama kot. Humaira terus membuka sms tadi.

“Aslm wbt Ya ukhti Humaira. Tengah buat apa tu?”

Humairah terdiam seketika.
Apa pula mimpi mamat ni bertanya khabar malam-malam buta ni. Biasanya smsnya hanya berkisar pada mengajak hadir ke kuliah, pembatalan kuliah, takpun mesej-mesej yang berbentuk tazkirah. Humaira menaip mesej. Tidak sedap hati pula jika tidak membalas mesej ini.

“Wslm wbt. Ana tengah study. Apa mimpi akhi mesej ana malam-malam ni?”

Humaira terus menghantas sms itu. Tak sampai seminit sms berbalas lagi.

“Ana teringatkan anti. Asyik terbayang wajah anti sahaja.”

Humaira kelu seketika. Apa mahu dibalas. Tapi jarinya terus menaip sms.

“Akhi ni nak bergurau-gurau pula malam-malam ni.
Ana tak ada masa. Ana nak study ni.”

Bukhari membalas lagi:

“Ana bercakap benar.
I really-really miss u. Ana suka kat anti.”

Humaira terdiam. Gila! Tapi di dalam hatinya sedikit keriangan. Dia sudah tidak tahu apa yang mahu dibalas dengan sms itu. Terus ditutupnya buku Business Mathematicnya. Dia tersenyum sendirian. Jauh dilubuk hatinya, dia juga menyukai Bukhari. Tak sangka lelaki itu menyimpan perasaan yang sama kepada dirinya.

Malam itu Humaira asyik terbayangkan wajah Bukhari. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi lagi:

“Esok kita jumpa di kuliah feqh ya. Dah lama ana tak jumpa anti. I miss you. Wslm wbt”

Humaira tersenyum. Sebelum melelapkan mata, sempat lagi dia menaip sms untuk membalas sms Bukhari.

“I miss you too. See you tomorrow.”

*****

“Amboi, jiwangnya kamu dengan Bukhari ni. Bukan main lagi ye Ira.”

“Entahlah Alice, Ira pun tak tahu kenapa dengan senang je Ira terima Bukhari tu.”

“Mungkin sebab dia baik kot. Sebab tu Ira senang je terima dia.”

“Mungkin betul juga kata Alice. Sebab Ira ingat dia baiklah Ira terima dia.”

“Hmm, jadi apa yang berlaku seterusnya.
Dah suka sama suka tu,” Alice bersuara lagi.

“Hmm tulah yang Ira sedihkan, kami suka sama suka.
Ira ada beritahu ibu Ira pasal ni. Dia pun tak kisah. Dia suka sahaja Bukhari tu.”

“Ooo macam tu. Habis tu ibu Ira tak suruh ke kamu bertunang ke, kahwin ke?” soal Alice lagi.

“Ada, ibu ada cakap, kalau dah suka sama suka tu, ikat sahajalah. Lagi elok.”

“Jadi, Ira dah bertunanglah dengan Bukhari tu.”

“Tak sempat pun. Bukhari menolak katanya belum sedia lagi. Ira ikut sahajalah.”

“Ooo macam tu,” kata Alice pula.

“Tapi eloklah tak sempat bertunang tu. Tak sanggup Ira nak ada tunang macam tu.”

“Kenapa Ira, apa dia buat?”

“Alice tahu, Ira ingat dia lelaki baik. Setia kat Ira. Lagipun dia aktif dengan aktiviti dakwah. Tapi rupanya sebaliknya.”

“Apa Bukhari dah buat Ira?”

*****

Humaira sedang membaca buku accounting di biliknya. Tak lama lagi peperiksaan semester. Maka Humaira menghabiskan masanya dengan mengulangkaji pelajaran. Kuliah-kuliah feqh dan akidah pun sudah dua minggu tiada. Memang begitulah, apabila lagi tiga minggu menjelang musim peperiksaan, kuliah-kuliah agama pada waktu malam akan dihentikan. Ini untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini mengulangkaji pelajaran mereka.

Humaira membelek-belek telefon bimbitnya. Sudah tiga hari tidak menerima sms daripada Bukhari. Mungkin sibuk agaknya. Masing-masing akan hadapai peperiksaan akhir semester. Tiada siapa yang mahu terkandas.

Tiba-tiba telefon bimbit Humaira berbunyi. “Mungkin ada sms dari Bukhari,” Humaira berkata di dalam hati.

“Aslm wbt. Ya ukhti! Maafkan ana kerana lama tak reply sms anti. Ana sedikit sibuk. Ana ada hal nak beritahu anti, malam nanti ana call anti.”

Humaira membiarkan sahaja mesej itu. Tak pe, malam ini Bukhari akan menelefonnya. Sudah hampir lapan bulan, setiap malam ada sahaja sms yang akan dihantar oleh Bukhari. Kadangkala Bukhari akan menelefon Humaira. Hinggakan teman sebilik Humaira, Emmy berasa hairan. Kadangkala dia bertanya siapa yang telefon, Humaira hanya tersenyum sahaja. Humaira sangka rakannya Emmy tidak tahu apa yang berlaku. Itulah sangkaan awalnya. Tapi akhirnye rahsia yang terselindung terbongkar jua. Hari itu muncul kembali ke dalam lamunan Humaira.

*****

Satu hari Humaira keluar. Mungkin ke tandas agaknya. Waktu itu hanya Emmy yang ada di bilik.
Rakan-rakan yang lain keluar. Emmy pergi ke katil Humaira. Dia mahu mengambil buku accountingnya yang dipinjam oleh Humaira. Tiba-tiba dia terlihat telefon bimbit Humaira. Terpapar satu mesej di telefon bimbit itu.

“Hai sayang, ukhti tengah buat apa tu. Ana rindu kat anti. Jikalah anti ada di sini ana ini, pasti ana akan membelai-belai rambut ukhti, mesti ukhti suka kan. Ukhti bayangkan kita berdua sahaja ……”

Emmy terus meletakkan telefon bimbit itu. Tak sanggup dia mahu membaca sms itu. Dia terkejut. Tak dia sangka. Dia seakan tidak percaya bahawa inilah yang dibualkan melalui sms setiap hari. Emmy terus pergi ke katilnya. Dia menunggu Humaira balik. Pintu bilik dikuak. Kelihatan Humaira masuk. Humaira bersuara:

“Tak tidur lagi ke Emmy?” soal Humaira.

“Belum lagi, tak mengantuk,” jawab Emmy perlahan. Diikutkan hatinya mahu sahaja dia bertanyakan Humairah tentang sms itu. Tapi dia menangguhkan hasratnya. Dia melihat sahaja apa tindakan Humairah selepas membaca sms yang ada itu.

Humairah kelihatan tersenyum-senyum. Entah apa yang ditaipnya. Dia membalas mesej Bukhari.

Emmy hanya memerhatikan sahaja. “Biarkan, esok masih ada. Aku akan dapatkan jawapannya dari Humaira esok,” kata Emmy di dalam hati.

Emmy terus melelapkan matanya walau hatinya tidak tenang dengan apa yang baru diketahuinya.

“Emmy, Emmy bangun. Jom kita solat Subuh berjemaah. Dah pukul enam ni,” Humaira mengejutkan Emmy.
Dua rakan yang lain masih tidur lagi. Mereka sedang cuti. Maklumlah perempuan.

“Hah dah pukul enam. Tunggu jap Ira, Emmy nak ambil wudhu dulu.”

Mereka solat berjemaah berdua. Humaira menjadi imamnya. Usai sahaja solat, selepas berzikir beberapa ketika. Emmy bersuara:

“Ira, kalau aku nak tanya satu soalan boleh tak, tapi kau jangan marah ye.”

“Apa soalan kau tu Emmy, cakap jelah. Tak ada aku nak marahnya.”

“Siapa yang selalu telefon dan sms kau tu?” soal Emmy.

“Alah kawan akulah Emmy,” jawab Humaira.

“Lelaki ke perempuan?” soal Emmy lagi.

“Lelaki. Heheh takdelah perempuan, kawan sekolah Ira dulu,” jawab Humaira.

“Ooo, macam tu,” Emmy bersuara. Dalam hatinya dia sungguh tak sangka yang Humaira masih lagi mahu berselindung. Masih mahu menipu dirinya.

“Ira, aku sebenarnya syukur sangat dapat duduk sebilik dengan kau ni. Kau baik. Walau aku macam ni. Pergi kelas pun dengan baju ketat, pakai seluar jeans, kau still kawan dengan aku,” Emmy menyambung bicara.

“Heh Emmy, apalah ni, Subuh-subub macam ni buat cerita syahdu pulak.
Biasalah tu. Sesama kawan.”

“Takdelah Ira, kau selalu nasihat aku. Dulu aku ingat lagi. Aku memang payah nak solat Subuh, tapi kau selalu kejutkan aku. Ajak aku solat jemaah macam sekarang ni. So, aku memang bersyukur sangatlah.”

“Hmm,” jawab Humaira.

“Aku harap kau akan kekal macam tu. Tak berubah. Aku nak kau ajar aku, bimbing aku. Tapi…” Emmy terhenti di situ.

“Tapi apa Emmy?” soal Humaira pula.

“Sebenarnya berat aku nak cakap ni Ira. Sebenarnya aku terbaca sms yang kau dapat semalam. Aku tak sengaja. Aku tak ada niat pun nak nak baca sms tu.”

Humaira terkejut. Segala yang cuba diselindungnya terbuka jua. Hancur! Maruahnya di hadapan Emmy hilang. Dia malu, sedih, marah. Malu dengan apa yang telah dia lakukan bersama Bukhari, sedih kerana maruah dia tercalar, segala noda-noda hitam yang tersembunyi di sebalik tudung labuhnyanya itu akhirnya terbuka jua. Marah! Geram! Geram kepada Emmy kerana membongkar apa yang dia sorokkan selama ini.

Humaira terus menanggalkan telekungnya. Dia bersuara dengan keras: “Siapa suruh kau baca sms aku?”

“Aku tak sengaja Ira, aku tak ada niat pun nak baca sms tu.”

“Ah! Kau memang sengaja cari kesalahan aku kan. Lepas ni bolehlah kau hebohkan kat kawan-kawan yang lain.”

“Ira, aku tak ada niat macam tu. Aku janji Ira, aku takkan bagitahu kawan-kawan yang lain. Aku janji Ira. Apa aku dapat kalau aku buat macam tu.”

Humaira terus pergi ke arah katilnya. Perasaannya bercampur baur, dia tidak tahu apa yang boleh dia buat lagi. Emmy terdiam. Dia pergi ke arah Humaira.

“Kau tak percayakan aku ke? Aku takkan bagitahu sesiapa tentang hal ni.”

Humaira mendiamkan diri. Emmy bersuara lagi.

Dulu kau selalu nasihat aku, bila aku tak solat kau ingatkan aku, bila dulu aku dok gayut telefon dengan boyfriend aku, kau nasihat aku berhenti semua tu.
Aku ikut cakap kau. Tapi kenapa kau jadi macam ni. Aku nak kau jadi macam dulu. Humaira yang aku kenal dulu.

“Ah! Kau jangan nak ceramah akulah Emmi. Kau siapa? Kau ingat kau baik sangat.
Dahlah. Kau dah tahu siapa aku sekarangkan. Dah aku nak tidur.”

Emmy terdiam.

*****

Humaira tersedar dari lamunannya. Itulah kali terakhir dia bersama Emmy. Selepas segala-galanya terbongkar, Humaira memohon untuk berpindah ke bilik lain.
Entah apa rezekinya, mudah sahaja permohonan menukar bilik dia diluluskan. Bukan setakat itu, dia berpindah dari mahallah Sumayyah ke mahallah Asiah.

Humaira kembali membaca buku accountingnya. Perasaan sedih tiba-tiba muncul pabila teringat kembali pertengkarannya bersama Emmy. Akan tetapi sebentar sahaja, Humaira tersenyum kembali apabila mengingatkan janji Bukhari untuk menelefonnya malam itu.

*****

Alice terdiam. Cerita yang Humaira ceritakan seolah-olah satu kejutan buatnya.
Humaira, gadis yang dia kenali sejak sekolah. Sukar berinteraksi dengan lelaki hatta teman-teman sekelas. Alice teringat, Humaira pernah membaling beg seorang budak lelaki keluar dari kelas hanya kerana budak lelaki itu mengganggu Alice. Tapi cerita yang dia baru dengar kali ini, seolah-olah Humaira yang lain wataknya. Bukan Humaira yang Alice kenali. Alice bersuara:

“Lepas tu, apa yang jadi, Ira? Macam mana Ira dengan Emmy?”

Humaira terdiam. Matanya merah, dia seakan-akan mahu menangis.

“Entahlah Alice, aku tak tahu. Dah lama aku tak hubungi Emmy. Mesti dia kecewa dengan aku.”

“Hmm, takpelah Ira. Benda dah jadi. Nak buat macam mana. Eloklah dapat kawan macam dia.”

“Yup. Dia baik. Memang dia kurang didikan agama. Waktu Ira baru kenal dia, Ira rasa macam susah nak masuk dengan dia. Waktu 1st week sebilik dengan dia. Tak pernah sekalipun Ira tengok dia bangun solat Subuh.
Ira start perlahan-lahan ajak dia solat. Alhamdulillah dia mula-mula macam malas, tapi lama-lama dia ikut juga.”

“Hmm.”

“Ira tak cuba hubungi dia ke, atau ajak dia kawan balik dengan Ira?”

“Hmm, Ira bukan tak nak. Ira malu, malu dengan dia. Dia berubah jadi baik. Dia harapkan Ira untuk jaga dia, ajar dia solat, ajar dia mengaji, tapi akhirnya Ira yang rosak. Ira malu nak jumpa dengan dia lagi.”

Alice terdiam. Humaira seakan-akan tidak dapat menahan lagi air matanya. Dia menangis. Alice cuba memujuknya, menenangkannya. Alice menggosok belakang Humaira. Humaira menangis teresak-esak. Perasaan bersalah muncul di dalam hati Alice. Kenapalah dia perlu mendesak Humaira menceritakan kesemuanya? Kenapalah perlu dia merosakkan malam itu dengan tangisan Humaira. Kenapa? Kenapa? Cuma hati Alice masih bertanya-tanya. Apakah yang Bukhari lakukan sehingga Humaira begitu benci padanya. Niatnya untuk mengetahui hal itu padam apabila melihat tangisan Humaira yang tidak henti-henti.

Malam itu, Humaira terus menangis dan menangis. Entah kenapa perasaan sedih yan teramat sangat. Alice terus memeluknya, memujuk dan memujuk. Akhirnya Humaira tenggelam dengan tangisannya di dalam dakapan sahabatnya Alice.
Malam itu menjadi saksi kepada tangisan kesedihan, penyesalan, tangisan memohon taubat dari Tuhan. Alice membiarkan sahaja Humaira di dalam dakapannya. Akhirnye mereka terlena. Malam menjadi sunyi.


.... Hidup tidak sentiasa tenang, adakala badai menghempas pantai. Sesekali terusik dengan dugaan hidup, yang kurang bergantung pada Nya boleh jatuh tergolek. Sesekali tersapa cabaran iman, jatuh berguling tercari arah... Perubahan itu perlu selalu dihiasi dengan muhasabah secara istiqamah kerana HATI selalu teruji. Antara haq dan batil, usah dicampur aduk keduanya kerana Islam tidak menghalalkan sesuatu yang batil untuk yang haq. Wallahua'lam ....