Di antara pulau bukit-bukit
di balik karang batu-batu
aku mencari kilauan
mutiara-mutiara persaudaraan
yang telah jatuh bertaburan
dari kalung kesatuan
yang terputus berselerakan.

Di hamparan putih lautan tenda-tenda
kesedihan menyelimuti aku yang tergamam
di sunyi hati pecah berderai kaca rasa
melihat permata maknamu jauh tenggelam
ditarik ladung kolektivisme yang padam
ke gelita dasar individualisme yang dalam.

Di muktamar tahunan ini
telah jatuh bertaburan dan berselerakan
erti kesatuan dalam persaudaraan
titipan Junjungan di Haji Perpisahan.

Haji,
tangan-tangan kotor berdosa itu
telah meragut kembang persaudaraan
dari rekah tangkai kesatuan
yang pernah mekar segar dahulu
di jambangan hikmah ritualmu.

Jadilah kau kini…
kuntuman kembang kehilangan seri
sakar madumu tak lagi wangi.


FM
9 Zulhijjah 1430 H
Kau harus bersyukur sepenuh hati
kerana kau kini bergelar tetamu Ilahi

Aku tahu pengorbananmu
untuk sampai ke situ
besar sekali
meninggalkan kampung halaman
dan mereka yang kau cintai.

Aku juga tahu perjalanan ini
mungkin, seumur hidupmu hanya sekali.

Oleh itu saudaraku
jangan kau lepaskan kesempatan ini
jayakanlah ibadahmu seluruh diri
kerana tiada kemulian yang tertinggi
dari bersujud di hadapan Tuhan Yang Abadi.

Tataplah wajah tanah itu
hitunglah batu-batu, hidulah debu-debu
kerana bekas-bekas perjuangan nabimu
masih basah di situ.

Sungguh, kota Makkah dan Madinah
adalah kitab sirah yang terdedah
hidup dan penuh faedah
tuntunan berkiprah
mantap tanpa goyah.

Sapalah saudara-saudaramu
walau mereka berlainan suku
jalinlah tali persaudaranmu
atas nama akidah yang satu.

Campaklah dirimu
ke dalam lautan manusia berjuta itu
biar kuyup dan basah bersama
tengelam hingga ke dasarnya
kerana kau adalah mereka
dalam sendu dan tawa.

Bawalah gelombang manusia berjuta itu
mengalir dari lautan rohani
menyerbu dalam deru nusa yang satu
ke lautan hidup duniawi.

Pukullah pantai kawat berduri itu
yang selama ini meliliti pergerakanmu
untuk menjunjung perintah dan larangan tuhanmu
biar butir-butir pasir pantai itu
masin bersama garam gelombangmu.

Adakah pantai kawat berduri yang tidak terobohkan
oleh ombak menggunung tinggi api tsunami?
Manakah kawat berduri yang tajam berkilauan
maka terputus rantaian badai besi keyakinan suci?


Fikrul Mustanir
Kelana Jaya
November 2009