Kau harus bersyukur sepenuh hati
kerana kau kini bergelar tetamu Ilahi

Aku tahu pengorbananmu
untuk sampai ke situ
besar sekali
meninggalkan kampung halaman
dan mereka yang kau cintai.

Aku juga tahu perjalanan ini
mungkin, seumur hidupmu hanya sekali.

Oleh itu saudaraku
jangan kau lepaskan kesempatan ini
jayakanlah ibadahmu seluruh diri
kerana tiada kemulian yang tertinggi
dari bersujud di hadapan Tuhan Yang Abadi.

Tataplah wajah tanah itu
hitunglah batu-batu, hidulah debu-debu
kerana bekas-bekas perjuangan nabimu
masih basah di situ.

Sungguh, kota Makkah dan Madinah
adalah kitab sirah yang terdedah
hidup dan penuh faedah
tuntunan berkiprah
mantap tanpa goyah.

Sapalah saudara-saudaramu
walau mereka berlainan suku
jalinlah tali persaudaranmu
atas nama akidah yang satu.

Campaklah dirimu
ke dalam lautan manusia berjuta itu
biar kuyup dan basah bersama
tengelam hingga ke dasarnya
kerana kau adalah mereka
dalam sendu dan tawa.

Bawalah gelombang manusia berjuta itu
mengalir dari lautan rohani
menyerbu dalam deru nusa yang satu
ke lautan hidup duniawi.

Pukullah pantai kawat berduri itu
yang selama ini meliliti pergerakanmu
untuk menjunjung perintah dan larangan tuhanmu
biar butir-butir pasir pantai itu
masin bersama garam gelombangmu.

Adakah pantai kawat berduri yang tidak terobohkan
oleh ombak menggunung tinggi api tsunami?
Manakah kawat berduri yang tajam berkilauan
maka terputus rantaian badai besi keyakinan suci?


Fikrul Mustanir
Kelana Jaya
November 2009
(Ilham dari harapan perjuangan ketika menatap foto Al Hambra yang terpenjara kesepian di bumi Andalusia.)

Monumen duka puncak Teres
tersergam kemerah-merahan
mengamit rindu perpisahan
senandungkan syair menghiris
mengetuk hati pemuda harapan
untuk bangkit membebaskan
mutiara kilauan zaman
di tangan kotor berkurun tertawan.

Aliran Darro sederas derai air mata
biar sinar mentari Granada mendakap mesra
kesayuan menatap menyapa jua
menyebak dada
membakar gelora
semangat dan cita…

Jejalur cahaya di sela jendela Dewan Duta
memancarkan seribu warna nestapa
tembok dan 13 menara
menjulur lambai ke udara
secemas tangan-tangan lemas meronta
minta diangkat dari banjir derita.

Aliran dan pancuran air di Halaman Singa
tak kan mampu menyejuk atmosfera jiwa
juga membasuh aib di muka
kita yang sedang berputih mata.

Sabarlah Al Hambra…
detik bahagia kan berkunjung jua
menemani perjuangan pemuda harapan
adalah Janji yang tak termungkirkan.

Akan datang ketika…
rantai belenggu yang dikalungkan
oleh helah Ferdinand dan Isabella
akan jaya kita putuskan.

Sekalah air matamu…
tiada guna menangis sendu
dalam isak gadis pemalu
kerana perjuangan pembebasan
mendambakan keberanian si JANTAN!

Selama Janji tak tertunai lagi
perjuangan ini tak kan berhenti!


Fikrul Mustanir
Jumaat, 13 Nov 2009.