Seawal empat pagi, dia telah bangun menghadap Tuhan pencipta. Yang menciptakan manusia begitu unik. Menganugerahkan berbagai-bagai keistimewaan serta kelebihan kepada seluruh makhluk melata dunia. Bagi orang yang berfikir menggunakan akal dan dipandukan iman akan menyedari pemberiaanNya itu hanyalah sebagai pinjaman untuk menguji manusia.
Sebelum waktu solat Subuh masuk, dia seorang penulis yang menulis mengikut caranya tersendiri. Tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Kadang-kadang penulisannya mengundang kontroversi! Pihak yang terasa pedas seringkali tercabar. Namun dia tidak pernah gentar kerana tulisannya benar! Aku bukan cari redha manusia tetapi redha Ilahi! Itulah prinsipnya ketika menulis.
Selepas fajar pagi terbit, dia bergelar seorang jurutera di sebuah syarikat terkemuka. Memerah otak, mengeluarkan idea-idea baru untuk memudahkan kehidupan manusia sejagat. Bukan senang hidup sebagai seorang jurutera. Kaum hawa pula tu. Kerjaya jurutera bukan hanya sekadar tugas. Ia salah satu mekanisma merealisasikan impiannya. Impian yang satu yang tak siapa tahu.
Di rumah, dia seorang isteri yang amat setia pada seorang suami yang begitu komited dalam kerja-kerja Islam. Anak-anak dididik dengan tegas, penuh kasih-sayang. Anak-anak aset yang sangat bernilai dalam usaha mencapai impiannya. Seawal usia anak-anaknya telah dipupuk minat membaca. Sekurang-kurang 200 ringgit sebulan duitnya diperuntukkan untuk membeli pelbagai jenis bahan bacaan - komik, majalah, buku-buku pelbagai bahasa untuk menjadi tatapan anak-anaknya walaupun masih kecil, tidak pandai membaca lagi.
Dia tidak pernah melarang anaknya untuk buat apa sahaja selagi tidak melanggar batas-batas syariat. Minat anaknya terhadap sesuatu perkara tidak pernah dikongkong malah dia akan turut menyokong kerana dia yakin setiap minat itu mampu memberi sumbangan kepada impiannya walaupun pada awalnya tidak nampak apa-apa kelebihan sekalipun.
Rumah dua tingkat sederhana besar itu terlakar segala kenangan terindah dalam hidupku. Sukar untuk melupakannya. Sungguh aku tak akan lupa! Sampai kapan pun! Di satu sudut, ditepi tangga untuk ke tingkat atas terdapat sebuah balang bulat yang terkandung di dalamnya gulungan kertas berwarna-warni. Menarik sekali. Setiap pagi sebelum kami adik beradik bersarapan, kami akan mengambil satu gumpalan kertas itu mengikut turn masing-masing.
“Yeah yeah hari ni turn alang… mama, mama nak alang amik warna ape? Alang amik warna kegemaran mama lah ye…” jelas sekali pagi itu Alang ingin bermanja dengan mama.
“Eleh, mengada-ngada!” Angah Muaz mengejek.
“Cepatlah amik. Tunggu apa lagi? Bukan tahu baca pun…” Sampuk Angah Muiz. Kembar Angah memang suka mengusik Alang.
Alang mengambil kertas berwarna purple. Warna kesukaan mama. Dia membuka kertas itu lalu berlari mendapatkan mama yang sedang menyediakan sarapan pagi.
“Mama, cepatlah baca…” sempat Kembar Angah menghalang Alang menghulurkan kertas tersebut kepada mama.
Keadaan setiap pagi di rumah itu sememangnya begitu. Kata-kata hikmah yang terdapat di helaian kertas itu akan menjadi motivasi kepada anak-anak mama sepanjang mengharungi perjalanan hidup pada hari tersebut. Kata-kata hikmah itu bukan sahaja mengandungi kata-kata dari ilmuan Islam, kata-kata filosof barat malahan juga hadith-hadith Rasulullah s.a.w serta ayat-ayat suci al-Quran. Waktu sarapan riuh-rendah dengan suara kami adik beradik. Kata-kata hikmah yang dicabut akan dijadikan sebagai topik hangat untuk dibincangkan pada hari itu. Sedari kecil lagi anak-anak mama telah dididik menghayati sunnah Rasulullah s.a.w. Mama berusaha menghidupkan sunnah Rasulullah dalam atmosfera rumah kami.
Cara mama mendidik anak-anaknya unik sekali. Mama tidak akan mendesak anak-anaknya untuk berbuat sesuatu. Mama beri dorongan dan galakan sehinggalah anak-anaknya tertarik melakukannya. Mama tidak mahu anaknya hanya bertaklid semata-mata. Mama mahu anak-anaknya berfikir terlebih dahulu sebelum memulakan sesuatu tindakan. Mama mahu anak-anaknya berfikir secara kreatif dan kritis. Mama mahu anak-anaknya buat sesuatu dengan kerelaan hati. Sebenarnya mama ingin melahirkan ulul albab dari kandungannya sendiri. Itulah yang aku rasakan selama aku hidup bersama mama.
Yang kutahu ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna bagi mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul. Golongan ulul albab mementingkan zikir dan fikir. Dalam konteks fikir, mereka suka mengkaji fenomena-fenomena yang berkaitan dengan kejadian alam. Ya, mama bercita-cita mendidik permata yang lahir dari cinta sucinya bersama kekasih pertama dan terakhirnya sebegitu.
Quran juga sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik. Minda yang saintifik adalah minda yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisis data dan fakta, serta mampu membuat andaian dan kemudiaanya konklusi kepada apa yang dicerap. Minda yang saintifik juga menolak sebarang laporan dan pandangan yang tidak berlapikkan bukti dan dalil. Sebenarnya minda seperti inilah yang mahu dilahirkan oleh Islam kerana Islam menyuruh umatnya supaya tidak mengikut sesuatu yang tidak bersandarkan bukti dan dalil. Dalam surah al-Israk ayat 36 Allah menyatakan,
“Janganlah kamu mengikut sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya”.
Oh, rupa-rupanya mama menyahut seruan mukjizat Rasulullah itu.
Mama tegas dalam mendidik anak-anaknya. Mama sedaya upaya menjauhkan kehidupan permata hatinya daripada hedonistic life. Bukanlah mama tidak membenarkan langsung anak-anaknya menonton televisyen, berhibur. Mama tidak sekejam itu. Malahan kadang-kadang mama akan menonton movie bersama-sama kami adik beradik. Jikalau mama tidak sibuk di hujung minggu, mama akan turut serta menonton perlawanan bola sepak Barclay’s Premiere League. Live di astro! Mama juga berkunjung ke kedai CD dan DVD untuk membeli DVD filem-filem terbaru. Cakap filem apa, semua ada dirumah kami. Movie menjadi salah satu koleksi mama. Eh, bukan semua cerita kami dibenarkan menonton. Hanya filem-filem tertentu sahaja. Mama membeli semua cerita itu bagi mencari idea untuk memantapkan lagi isi penulisannya. Remote Astro bukan kuasa kami. Mama mengawal anak-anaknya. Macam mana nak lahirkan ulul albab jikalau anak-anak terdedah dengan joget, tarian, aksi-aksi lucah yang banyak dalam tv tu… Ish ish…. Masakan bisa? Kata orang Indonesia.
Biasanya selepas kami menonton filem, kami akan berbincang mengenai bagaimana filem itu dijalankan. Teknologi apa yang diguna. Selepas sesuatu perlawanan pula, kami akan menganalisa pelawanan tersebut. Misalnya, aku masih ingat dahulu Arsenal kalah mengejut kepada Tothenham 5-1. Mama tanya anak-anaknya bagaimana Arsenal boleh kalah kepada pasukan bukan pilihan? Mama suka anak-anaknya menganalisa sesuatu perkara. Dalam keluarga kami Arsenal merupakan pasukan favourite. Abi dan Alang minat Manchester United. Mama, Ateh dan kembar Angah ikut mama minat Arsenal. Aku pun penyokong Arsenal. Aku tahu mama mengagumi falsafah Arsene Wenger. Jangan tak tahu mama pernah menjadi penulis sukan sambilan ketika Piala Dunia. Oh, aku tak ingat tahun berapa. Mama pernah ditawarkan menjadi penulis sukan tetap tetapi mama menolak kerana mama ingin menjadi jurutera. Jurutera adalah cita-cita mama sejak kecil. Mama pernah di gam daripada menulis kerana kritikan mama terhadap FAM terlalu pedas. Mama oh mama.... rindunya aku padamu...
Setiap kali mama pulang dari urusan kerja luar, mama mesti membelikan sesuatu untuk anak-anaknya mengikut kesukaan kami. Robot mainan mama belikan khas untuk kembar Angah. Tambahan koleksi mereka berdua. Mama tahu benar kembar Angah sangat minat filem Transformers. Alang pula mama hadiahkan barang-barang anime. Penuh meja Alang dengan barangan Naruto, Sasuke, Kakashi, Gaara, Shikamaru. Yang Ateh mama belikan hadiah yang ada kaitan dengan bola. Faham benar mama terhadap Ateh yang gilakan bola itu. Aku, mama selalu belikan model-model kereta terkini. Mengumpul model kereta memang menjadi hobiku. Mama memahaminya.
Memang aku tak nafikan nak tak nak menjadi satu cabaran hebat bagi ibu bapa mendidik anak-anak dalam dunia yang serba canggih ini. Kegilaan manusia pada teknologi tidak dapat dielakkan. Artis terlalu diagung-agungkan dan diberi liputan meluas yang melampau tidak kira media elektronik mahupun media massa. Remaja masa kini megambil artis sebagai idola masing-masing walaupun artis tersebut secara terang-terangan melakukan maksiat. Namun mama berjaya menanam dalam minda anak-anaknya bahawa yang harus dijadikan teladan dan contoh adalah Rasulullah.
Mama berjaya membalut jiwa anak-anaknya bahawa Rasulullahlah satu-satunya manusia yang patut dipuji dan dipuja. Mama juga berjaya menyemai semangat dan cinta Rasulullah kepada Islam ke dalam beluran darah anak-anaknya. Pejuang-pejuang Islam yang hebat suatu ketika dahulu seperti Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Sheikh Ahmad Yassin, Dr Abdul Aziz Rantissi, Salahuddin Al Ayubi dan ramai lagi yang mesti dijadikan role-model. Sejarah mengenai mereka sudah lama kami mendengarnya.
Nama-nama tokoh-tokoh yang telah dimuliakan dengan syahid itu sering keluar dari mulut mama. Sambil mama melipat kain, menyusun buku, cerita sejarah mereka mama ceritakan kepada kami. Kehidupan kecil kami memang tidak lari daripada cerita seperti itu. Anak-anak mama telah menyelusuri perjalanan kekasih Allah itu sedari kecil. Sehinggakan kami bercita-cita ingin menjadi seperti mereka. Walaupun anak-anak mama baru berusia kanak-kanak tetapi mama berusaha membentuk pemikiran anak-anaknya jauh kehadapan.
Sejak dari kecil lagi kami telah diberitahu tujuan sebenar seseorang manusia itu hidup di muka bumi ini. Kita khalifah di muka bumi ini! Telah diamanahkan kepada kita untuk memakmurkan dunia ini. Kita memang ditakdirkan menjadi pemimpin di muka bumi ini! Terngiang-ngiang sehingga kini kata-kata mama. Walaupun pada ketika itu, kami adik-beradik masih tidak memahaminya tetapi kami merasai amanah tersebut berat dipundak. Walaupun kami suka hero-hero televisyen seperti Superman, Batman, Spiderman tetapi kami dapat melihat Khalid al-Walid lebih hebat daripada Superman. Sayyidina Ali lebih tangkas berbanding Spiderman. Umar al-Khatab lebih gagah berbanding Batman.
Kami tetap menjadikan Khalid al-Walid, Sayyidina Hamzah, Umar al-Khatab serta sahabat-sahabat nabi yang lain sebagai hero. Kata mama, kita berasal dari syurga. Rumah kita sebenarnya di syurga. Sekarang ini kita sedang menuju untuk pulang ke tempat asal. Walau bagaimanapun kita tak tahu kita akan sampai atau tidak. Takut-takut kita tersilap jalan lalu sesat...
Jikalau kita ingin selamat sampai ke destinasi yang dituju, kita harus menjadikan sahabat-sahabat nabi itu sebagai hero bukannya Superman, Batman, Spiderman. Jikalau kita ingin menjadi hero, kita mesti menjadi seperti Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Salahuddin al-Ayubi yang kaya ilmu dunia akhirat… Kata mama lagi, kita mesti menjadi hero yang dapat dunia dan akhirat. Kedua-duanya sekali. Bukan dunia sahaja macam hero-hero yang dalam tv. Sebelum tidur, kami selalu bayangkan betapa hebatnya sahabat-sahabat nabi dan pejuang-pejuang yang telah gugur syahid itu.
Sejarah yang diceritakan mama sering terbayang diminda kami seolah-olah sebuah layar putih yang menayangkan sebuah filem. Alang yang sangat minat anime Naruto sering tertanya-tanya tentang Khalid al-walid selepas dia menonton anime Naruto. Aku lihat Alang selalu berfikir apa yang dikatakan mama mengenai kehebatan kepahlawanan Khalid sambil matanya memandang poster besar Naruto dan Sasuke yang terlekat di dinding sebelah katilnya. Dia sangat suka Sasuke. Dialah orang pertama yang marah apabila Sasuke jadi jahat akhirnya. Mulut mama memang ringan bercerita. Bak kata nakal Angah, mama mesra alam. Ada sahaja cerita yang mama ingin kongsikan. Selalunya kisah-kisah teladan, kadang-kadang lawak tapi semuanya ada manfaat. Kadang-kadang cerita berat tetapi mama ringkaskan dan permudahkannya supaya anak-anaknya yang masih kecil faham.
Yahya Ayyash…….
Mama menggelar kembar angah Muaz dan Muiz sebagai Yahya Ayyash. Kembar Angah hairan mama memanggil mereka dengan panggilan begitu. Kalau mama panggil dengan panggilan Yahya Ayyash, maknanya mama panggil keduanya sekali. Mengapa mama panggil mereka begitu? Mama bercerita tentang Yahya Ayyash. Yahya Ayyash merupakan seorang pemuda Palestin yang telah berjinak-jinak dengan perjuangan HAMAS sedari muda lagi. Beliau adalah salah seorang pemimpin muda Briged Komando al-Qassam, sayap ketenteraan gerakan HAMAS Palestin.
Beliau telah lulus dengan cemerlang dari Universiti Beir Ziet, pada tahun 1988 dalam bidang kejuruteraan elektrik. Seorang pakar bom dan pakar strategi serangan-serangan ke atas konvoi-konvoi tentera rejim Zionis. Beliau telah melatih seramai 200 orang komando untuk mencipta bahan letupan dari bahan-bahan mudah seperti gula, ubat batuk dan bahan-bahan kimia yang boleh didapati dari farmasi. Sahabat-sahabatnya menggelarnya al-muhandis! Beliau menjadi orang buruan Shin Bet, badan perisikan rejim Zionis yang bertanggungjawab membunuh pemimpin-pemimpin Palestin.
Beliau juga pernah hidup selama dua tahun sebagai rabbi yahudi ortodoks hingga tidak dapat ditangkap oleh pihak perisikan rejim. Kejayaan beliau dalam operasi peperangan telah mengorbankan ratusan tentera rejim Zionis ditangan komando al-Qassam. Beliau menjadi sumber inspirasi pemuda Palestin bahawa mereka boleh mengalahkan tentera Yahudi walaupun dalam serba kekurangan.
Bukanlah mama ingin kembar Angah menjadi Yahya Ayyash sepenuhnya tetapi mama mahu Angah Muaz dan Angah Muiz mencontohi semangat dan cinta Yahya Ayyash pada Islam sehingga sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk mempertahankan Islam.
Kembar angah sangat minat perkara yang berkaitan dengan elektrik dan elektronik. Mereka berdua suka membuka barangan elektronik yang dah rosak misalnya televisyen, computer, radio, peti sejuk dan lain-lain. Mereka membukanya dan mengambil komponen-komponen yang masih boleh diguna pakai kemudian mereka mereka sesuatu yang baru. Itulah hobi Si Kembar Angah keluarga kami dan mereka menggilanya. Ya, mereka berdua bercita-cita menjadi jurutera. Oleh sebab itu mama menggelar mereka sebagai Yahya Ayyash al-muhandis. Mama berjaya menghidu bakat terpendam setiap anak-anaknya. Gayanya mama macam seorang pengurus pasukan bola sepak yang berjaya mengenalpasti keupayaan setiap pemainnya sedari muda. Kemudian melatih pemain itu sehingga menjadi bintang bergemerlapan di pentas bola sepak. Mungkin mama meniru cara Arsene Wenger. Haha... mama mama...
Bagi aku, mama wanita terhebat abad ini. Bukan kerna dia mamaku. Bukan kerna aku anaknya. Aku pasti sesiapa yang mengenalinya akan mengiakan kenyataanku ini. Aku berani bertaruh dalam hal ini! Jikalau ada yang bertanya siapa sahabat baikku di dunia ini, sudah tentu aku akan menjawab mama! Mama rafiq yang paling akrab denganku di dunia ini. Dalam bahasa mudahnya, mama is my best friend. Sewaktu di universiti dahulu, teman-teman sebilikku terkejut bila aku beritahu yang aku sedang bergayut dengan mama.
Mereka semua ingatkan yang aku sedang bergayut dengan seorang kawan. Aku boleh berdiskusi pelbagai isu dengan mama. Apa-apa sahaja. Hal isu-isu semasa, konflik dunia, politik malahan sukan dan filem pun boleh. Sehinggakan projek akhir ku di universiti pun aku meminta pandangan mama. Aku tahu bukan aku seorang sahaja yang menganggap mama sebagai teman baik, adik-adikku yang lain pun sama. Ada kalanya kami adik beradik berebut-rebut untuk menghubungi mama. Jikalau menghubungi mama pasti tidak mengecewakan. Ada sahaja idea-idea bernas dari pelbagai perspektif yang keluar dari mulut mama dan yang pasti mama akan memulakan dari sudut pandangan Islam.
Sepanjang aku hidup bersama mama, belum pernah ku melihat mama membuang masa. Mama bekerja keras sepanjang hari. Demi anak-anak dan impiannya. Agaknya mama tak sedar dia menghidap penyakit kronik itu sehingga boleh membunuhnya. Kesibukannya mengejar impian membuatkan dia lupa. Mungkin! Kami adik-beradik juga tidak menyangka mama menghidap penyakit itu kerana mama amat menitik beratkan soal kesihatan. Sedari kecil mama mendidik anak-anaknya makan makanan berkhasiat. Tapi mengapa? Mengapa ya Allah?? Mengapa mesti mama yang pergi dahulu? Aku boleh kehilangan dunia ini seisinya tetapi tidak mama. Mama sumber kekuatanku! Mama pencetus ilhamku! Mama pembakar semangatku! Kebijaksanan mama inspirasi kejayaanku! Aku butuhkan mama. Aku benar-benar memerlukan dia di dunia ini.
Pemergian mama amat berat sekali untuk ku terima. Aku sangat berharap ianya hanya sekadar mimpi ngeri. Bila aku sedar waktu dinihari ianya akan menjadi seperti sediakala. Tapi itu sesuatu yang mustahil! Aku mesti redha dengan ketentuan ini. Hidup dan mati telah ditetapkan. Terngiang-ngiang ditelinga sepotong ayat surah Yunus ayat 49 yang pernah keluar daripada mulut mama. Maksudnya: “ Bagi setiap umat mempunyai ajal. Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan walaupun sesaat.....”.
Walaupun hayat mama tidak panjang tetapi mama berjaya membina sekumpulan ulul albab hasil daripada implementasi pendidikan Rabbani dalam kehidupan anak-anaknya sejak dalam kandungan lagi.
Mama… aku begitu bangga menjadi anakmu... Mama tidak henti-henti menuntut ilmu. Semangatnya dalam menimba ilmu amat mengagumkan. Selepas satu, satu ilmu lain yang mahu diterokainya. Keinginan mama untuk menjalankan penyelidikan mengenai bola sepak di luar negara, mendapat bantahan daripada Abi. Abi tidak membenarkan mama pergi lebih-lebih lagi mama mengandung pada waktu itu. Namun, mama nekad nampaknya… dia tetap mahu menyiapkan tesisnya dalam bidang pengurusan sukan di Italy.
Aku pun tidak tahu bagaimana mama berbincang dengan Abi sehingga Abi membenarkan dia pergi tetapi dengan beberapa syarat. Syarat yang hanya mereka berdua sahaja yang tahu. Akhirnya mama melahirkan anak kelimanya disana… Sebuah negara Eropah yang memang terkenal dengan permainan bola sepak yang kreatif dan cantik, tempat kelahiran adikku yang mengubah seluruh perjalanan hidupnya. Gara-gara mama membuat research semasa sedang hamil, menyebabkan adikku sangat berminat dalam sukan itu. Susuk tubuhnya juga tidak menampakkan dia orang Asia. Wajah dan susuk tubuhnya bagaikan orang Eropah. Mungkin benar kata orang Negeri Sembilan, ‘ngonan’.
Aku masih ingat, adikku yang keempat itu sangat suka menonton perlawanan bola sepak dan akan menangis seandainya kami ingin menonton channel lain walaupun pada ketika itu dia masih belum pandai bercakap. Ketika dia berumur empat tahun, seringkali dia mengajak Abi pergi menonton perlawanan bola sepak di stadium. Tapi, permintaannya itu ditolak mentah-mentah oleh Abi. Abi tidak mahu anak-anaknya melakukan kerja yang sia-sia, yang tidak membawa apa-apa sumbangan kepada Islam. Abi mahu anak-anaknya menjadi ilmuwan Islam dan berjuang dalam perjuangan Islam.
Seorang wartawan sukan yang membantu mama semasa menjalankan penyelidikan di Italy dan merupakan isteri kepada seorang bekas pemain bola sepak datang bercuti di Malaysia. Ketika dia menziarahi kami sekeluarga, dia melihat adikku mempunyai bakat yang sangat besar dalam bola sepak. Dia begitu tertarik dengan adikku. Lagi-lagi dia tidak mempunyai anak lelaki. Permintaan untuk mengambil adikku sebagai anak angkat dan keinginan untuk mengasah bakat Ateh ditolak keras Abi. Abi sangat-sangat tidak bersetuju. Mana mungkin anak yang menjadi harapannya dilatih untuk menjadi seorang pemain bola sepak dan dijaga oleh seorang yang bukan beragama Islam. Mama hanya mampu mendiamkan diri.
Kalau ikutkan secara logik, memang relevan tindakan Abi. Apabila Ateh berusia 8 tahun, minat Ateh dalam bola sepak semakin terserlah. Kemuncaknya, minat Ateh dalam sukan itu seakan-akan terkubur setelah Ateh ‘kantoi’ ponteng kelas Al-Quran semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium. Sebelum ini Abi membenarkan Ateh berlatih bola sepak pada waktu petang tetapi mesti ke kelas Al-Quran pada sebelah malam.
Kesalahan ponteng kelas semata-mata kerana bola menyebabkan Abi hilang sabar. Ateh tidak dibenarkan lagi mempunyai sebarang kaitan dengan bola! Itulah hukuman Abi untuk mengajar anaknya. Adikku itu terlalu degil dengan minatnya. Walaupun kami adik-beradik yang lain nakal dan degil, tetapi tidaklah sedegil adikku yang minat bola sepak itu! Kadang-kadang aku tergelak apabila terkenangkan adikku yang seorang itu.
Pernah guru kelas Ateh mengadu pada mama dan Abi, Ateh selalu tidur dalam kelas. Aku hanya mendiamkan diri walaupun aku tahu Ateh sering menonton bola hingga lewat malam kerana ketika itu musim Piala Dunia. Apabila rahsia Ateh menjadi kelawar ketika musim demam bola melanda, Abi benar-benar berang. Kami tidak dibenarkan lagi menonton tv!! Rajuk Ateh panjang. Dia hanya membisu sahaja. Mama amat terasa dengan perubahan Ateh. Air mata mama berjujuran apabila membaca coretan luahan hati Ateh… dia benci Abi kerana Abi tidak membenarkan dia bermain bola sepak. Kenapa Abi tidak faham akan minatnya itu. Mama mengerti perasaan Ateh. Ateh tidak sebijak abang-abangnya yang mana mereka sudah boleh menghafaz beberapa juzuk Al-Quran ketika seusia Ateh. Aku tahu Abi juga bersedih lebih-lebih lagi apabila anaknya itu membenci dirinya.
Pada suatu pagi, aku terjaga pada awal waktu dan aku terdengar suara Abi sedang berdoa di bilik solat. Abi berdoa agar terbuka pintu hati Ateh untuk mendengar kata-katanya… dan Abi meminta petunjuk daripada Allah S.W.T apa yang patut dilakukannya dalam permasalahan Ateh. Dia tak mahu Ateh terus-terusan membenci akan dirinya. Sikap membisu Ateh amat meresahkan Abi. Pada ketika itu mama sedang berkursus ke luar negara. Aku tidak menyangka mama merancang sesuatu tanpa diketahui oleh sesiapa termasuk jua Abi. Mama telah berjumpa dengan bekas pemain Italy yang mahu melatih Ateh serta berbincang dengan seorang guru agama negara tersebut tentang masalah Ateh. Begitu mama memahami anak-anaknya. Mama mahu Ateh berguru dengan ulama itu dan berlatih bola sepak dengan bekas pemain kebangsaan Italy yang telah bersara itu. Ya, mama tidak mahu menghalang setiap minat anaknya!
Pada awalnya, Abi tidak bersetuju tetapi apabila mama menunjukkan rancangan jangka panjang untuk menjamin masa depan Ateh menyebabkan Abi tertarik. Impian mama dan Abi sama tetapi method dan cara pemikiran mereka amat berlainan. Walaupun Abi menikahi mama kerana tertarik dengan cara pemikiran mama yang lain daripada yang lain itu.
Mama terus bekerja keras untuk menampung perbelanjanan Ateh di sana walaupun keluarga angkat Ateh tidak mahu bayaran apa-apa kerana mereka telah menganggap Ateh sebagai anak mereka sendiri. Abi juga begitu. Aku tahu mama dan Abi bukan sewenang-wenangnya menghantar Ateh ke sana. Terpaksa menanggung rindu seharian, rindu pada ulah nakal Ateh yang malas belajar, malas mengaji al-Quran tetapi sangat bijak mengambil hati mama dan Abi. Aku sangat yakin mama dan Abi buat begitu semata-mata untuk Islam. Aku begitu yakin walaupun aku tidak dapat bayangkan bagaimana.
Akhirnya, Ateh menjadi kebanggaan mama dan Abi… Walaupun baru berusia 16 tahun, Ateh menjadi penyerang utama dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan Italy untuk merangkul Piala Dunia. Dia merupakan pemain termuda yang akan membawa cabaran tersebut di persada antarabangsa dalam kejohanan yang paling berprestij itu. Ramai pemain-pemain yang telah menjadi lagenda memuji bakat yang dimiliki Ateh. Yang paling bermakna, kasut emas yang diidamkan oleh setiap pemain menjadi milik Ateh. Kepopularan Ateh mengalahkan selebriti… Ateh terkenal di seluruh pelusuk dunia bukan hanya sebagai pemain bola sepak yang handal tetapi menjadi model iklan syarikat-syarikat terkenal.
Walaupun Ateh sudah bergelar jutawan diatas bayaran perpindahannya ke kelab England yang bernilai jutaan ringgit, Ateh tidak membelanjakan wang tersebut dalam kehidupan sehariannya. Perbelanjaan hariannya tetap ditanggung oleh mama dan Abi. Itulah perjanjian Ateh dengan mama dan Abi kerana Abi tidak mahu Ateh menggunakan duit yang tidak tahu mana datangnya dan Ateh bukan tidak tahu perpindahan pemain menjadi bisnes kapitalis yang dimonopoli Yahudi. Apabila meningkat dewasa baru Ateh sedar yang dia bermain bola sepak bukan hanya sekadar minat semata-mata tetapi kerana dakwah Islam! Ya, dia mesti menggunakan setiap peluang yang ada untuk tujuan dakwah.
Bermain di England amat menggembirakan dirinya. Malam Ateh akan belajar melalui pembelajaran jarak jauh. Ateh mewajibkan dirinya untuk solat secara berjemaah di masjid waktu solat Subuh. Dia yakin, pengaruh bola sepak sangat berkuasa seluruh dunia dan dakwah mesti berjalan di situ. Dia nekad untuk menyusun strategi dakwah dalam arena bola sepak yang memberi keuntungan besar kepada syarikat-syarikat kapitalis. Akhlak Islam yang ditunjukkan Ateh menjadikan Ateh bukan sahaja disayangi oleh golongan remaja, malahan orang tua dan juga kanak-kanak.
Wartawan dan paparazzi mengejar Ateh untuk mencari bahan berita kerana Ateh pada ketika itu sangat popular mengalahkan selebriti. Kerja harian Ateh sentiasa menarik perhatian umum. Populariti Ateh semakin meningkat setelah wartawan berjaya menghidu aktiviti amal Ateh pada setiap hujung minggu. Ateh tidak menggunakan kemewahan yang ada untuk membeli kereta-kereta mewah seperti pemain-pemain kaya yang lain tetapi Ateh menggunakan duit tersebut untuk kerja-kerja amal. Lama kelamaan, Ateh menjadi idola setiap masyarakat dunia…
Strategi dakwah berjalan… Ateh cuba sedaya upaya mempromosikan gaya hidup Islam sepenuhnya!! Ramai juga kawan-kawan sekelab memeluk Islam. Mereka bersatu pemikiran dan tenaga menggunakan kekayaan mereka membuka perniagaan yang pelbagai bagi menyaingi syarikat-syarikat besar Yahudi. Walaupun banyak rintangan, dia berjaya… Dia tahu, nyawanya terancam, diugut bunuh, namun dia tetap teruskan ….
Mama…Abi… pengorbanan kalian berbaloi kini… perancangan aneh mama berjaya… walaupun tak sepenuhnya, tapi… mungkin suatu hari nanti umat Islam akan mengambil alih bisnes bola sepak dan menjalankannya mengikut syariat… Allahuakbar!
Kini aku sudah bergelar seorang CEO di sebuah syarikat pembinaan. Firma kami adik beradik telah diberi kontrak sepenuhnya dalam pembinaan sebuah stadium baru di England. Kembar Angah bergabung tenaga sebagai engineer. Manakala Alang arkitek muda yang terkenal dengan idea baru yang kreatif. Kontrak pembinaan stadium itu kami dapat gara-gara pengaruh Ateh. Alang telah mendesign sebuah musolla kecil dalam stadium tersebut. Pada awalnya memang dapat tentangan yang hebat disebabkan musolla kecil itu. Ianya menjadi satu isu yang besar. Tetapi akhirnya kami berjaya! Ini kerana kami mendapatkan khidmat seorang peguam hebat. Adikku yang bongsu. Musolla kecil itu dapat menunjukkan di seluruh dunia yang agama Islam itu fleksibel… gembiranya tidak terkata….
Mama, Abi… aku bangga menjadi anakmu. Kami adik-beradik tidak akan jadi sehebat ini jikalau tidak kerana mama dan Abi. Kejayaan kami ini semua gara-gara keunikan didikan mama. Mama, Abi… Hebatnya perancangan kalian berdua. Golongan kuffar tidak akan berjaya menghalang perkembangan Islam. Islam akan tertegak walau diceruk mana sekalipun. Itu sudah pasti!!!
Mama, Abi… Aku merindui kalian… Rindu sangat-sangat…
Hatiku kepingin benar rasanya hidup berdua. Ingin sekali aku miliki wanita yang mempunyai pemikiran hebat seperti mama. Alangkah bahagianya anak-anakku nanti. Sudah tentu anak-anakku akan menjadi orang yang hebat seperti anak-anak mama. Bisakah kuketemu wanita seperti itu? Di dunia yang mengamalkan hedonictic life ini?! Bisakah?! Bisakah?! Jikalau aku menjumpai wanita seperti mama, akan terus ku meminangnya tanpa tangguh-tangguh lagi! Akan ku berjuang mendapatkan cintanya. Akan kukorbankan apa sahaja demi memastikan dialah bakal ibu kepada anak-anakku kelak! Akan ku berdoa sungguh-sungguh agar Allah menghadiahkan wanita itu kepadaku. Namun sehingga kini wanita persis mama masih belum kutemui…
~ Umar Huzaifah~
Umar Huzaifah menoktahkan luahan rindunya pada mama… coretan itu ditulis khas untuk Lisa Knowles, wartawan muda yang tidak jemu-jemu menulis perihal mereka adik-beradik. Pada awalnya Umar malas hendak melayan tetapi dia tewas dengan semangat wartawan muda berani, Havard fresh graduate itu. Mungkin juga Umar rasa terhutang budi pada Lisa disebabkan Lisa banyak membantu ketika isu musolla kecil dalam stadium dapat tentangan hebat pelbagai pihak. Lisa Knowles lah satu-satunya wartawan bukan Islam yang menulis secara adil dan saksama.
Lisa terpegun setelah habis membaca e-mail coretan Umar Huzaifah yang baru diterimanya semalam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Hatinya masih lagi tertanya-tanya itukah rahsia adik-beradik yang berjaya mencipta sejarah tersendiri itu?? Wow, rupa-rupanya kejayaan mereka berpunca daripada seorang wanita... sukar mempercayainya...
Lisa yang merupakan seorang wartawan tidak jemu-jemu memburu adik-beradik itu bagi mencungkil apakah rahsia disebalik kejayaan gilang-gemilang mereka. Adik-beradik itu tetap membisukan diri. Mungkin mereka ada alasan tersendiri untuk merahsiakannya. Lisa pun tidak tahu mengapa dia sungguh-sungguh ingin mengetahui rahsia tersebut. Keinginannya itu bukan faktor dia seorang wartawan tetapi lebih bersifat peribadi. Hatinya seolah-olah meronta-ronta untuk mengetahuinya. Akhirnya CEO muda yang diminati Lisa itu membuka rahsia. Itupun dia memberitahu Lisa kerana menganggap Lisa sebagai seorang sahabat bukannya wartawan! Lisa tahu maksud lelaki yang mempunyai aura tersendiri itu. Namun, perenggan terakhir coretan Umar Huzaifah itu mengecewakan hati kecil hawanya...
Hasil nukilan,
LaBuORenZ
2008
labuorenz@yahoo.com
Masihkah Kita Bersolidariti Tanpa Jemu?
-
Konflik yang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza, sudah menghampiri tiga
bulan. Jumlah mangsa yang terkorban mencecah sekitar tiga puluh ribu orang.
Ini...
3 months ago
0 comments:
Post a Comment