"Kak Ummu nak cakap dengan Kak Ida..."

Maisarah melepaskan headphone ditelinganya. Panggilan antarabangsa menggunakan syarikat telekomunikasi internet. Seminggu berlalu, berita sedih dari keluarga Salida diketahui oleh ahli bait mereka, Maisarah dan juga Ummu Rufaydah meskipun Ummu Rufaydah masih berada di Malaysia.

"Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam whb kak. Akak sihat? Mak ayah sihat?"

"Alhamdulillah, mak ayah kak Ummu sihat. Ida sihat ker?"

"Alhamdulillah, bi khair."

"Alhamdulillah. Ida, semalam Kak Ummu ziarah keluarga Ida di kampung. Alhamdulillah, mereka semua kirim salam. Mereka juga kirimkan barang-barang buat Ida, insya Allah 2 hari lagi Kak Ummu bertolak ke Damsyik. Flight Kak Ummu malam. Nanti antunna jemput Kak Ummu, boleh?"

"'Alaika wa'alaikumussalam. Insya Allah kak. Mak ayah Ida sihat ke kak?" Kedengaran suara Salida bertukar nada, perasaan rindu pada keluarga dan kerisauan pada adik bongsunya membuatkan Salida semakin rindukan Malaysia.

"Alhamdulillah, mak ayah Ida sihat. Adik Ida pun sihat, ceria jer sepanjang Kak Ummu ziarah. Barang Ida haritu, Kak Ummu dah pos awal-awal. Jadi, Kak Ummu hanya bawa buah tangan. Ida jangan risau ye, adik Ida sihat. Ida jangan susah hati, Kak Ummu ambil banyak gambar dengan ahli bait Ida, nanti Kak Ummu bagi pada Ida. Kalau Ida nak cepat, sekejap lagi Kak Ummu hantar e-mail."

"Terima kasih kak... Kalau Kak Ummu boleh e-mail, e-mail la. Kalau tidak, Ida tunggu Kak Ummu balik yer."

"Insya Allah dik. Kuatkan semangat, jangan susah hati, jangan fikir yang bukan-bukan."

"Insya Allah kak. Syukran, jazakillah."

"Afwan dik, jazana waiyya kum."

*********************

Sakinah, Salida dan Maisarah ditemani Ustaz Naim ke mator (lapangan terbang) menunggu ketibaan pesawat dari Abu Dhabi. Ummu Rufaydah 'transit' di Abu Dhabi sebelum meneruskan perjalanan ke Damsyik.

"Itu Kak Ummu." Maisarah mengejutkan Salida dan Sakinah yang sedang ralit berbual. Ustaz Naim berada agak jauh dari mereka, sekadar menemani muslimat sebagai musyrif juga tunangan kepada Sakinah. Peraturan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS), muslimat perlulah ditemani oleh musyrif apabila keluar pada waktu malam untuk keselamatan diri.

"Assalamu'alaikum..." Ummu Rufaydah menyapa sahabat-sahabat yang dirinduinya. Seorang demi seorang sahabat dipeluk erat.

"Alaikumussalam. Alhamdulillah, selamat sampai. Selamat kembali ke Bumi Syam." Sakinah memeluk Ummu Rufaydah seeratnya.

"Ida sihat?" Ummu Rufaydah menyapa sahabatnya, ada riak wajah duka yang terselindung di sebalik sehelai kain niqab yang dipakainya.

"Alhamdulillah." Salida mengangguk, lalu pandangan di jatuhkan ke bawah. Sukar menatap insan di hadapannya, sekalipun wajahnya terselindung di sebalik sehelai niqab namun mata selalu menceritakan apa yang terbuku di hati.

Beberapa beg Ummu Rufaydah bertukar tangan. Mereka berempat jalan beriringan dan Ustaz Naim sudah sedia menunggu di depan teksi.

***************************

Seusai solat Subuh berjemaah, mereka meneruskan pembacaan al-Mathurat dan Surah Yaasin buat Syakirah, adik bongsu Salida. Sakinah dan Maisarah menyiapkan sarapan sementara Ummu Rufaydah berbicara sambil menunjukkan gambar-gambar keluarga Salida. Camera jenama Sony milik Ummu Rufaydah bertukar tangan, Salida tersenyum puas. Menatap wajah-wajah yang dirinduinya sedikit sebanyak menyulam perasaan kasih yang semakin sarat.

"Ida, kalau nak clear nanti kita transfer dalam PC ye." Ummu Rufaydah memberi cadangan.

"Syukran jiddan kak." Salida memeluk erat tubuh gempal Ummu Rufaydah. Air matanya tidak mampu dibendung, jatuh setitis demi setitis mutiara jernih di pipinya. Salida amat jarang menitiskan air mata, wataknya ceria dan sentiasa tersenyum.

"Afwan ukhti habibah. Hanya ini yang mampu akak usahakan buat Salida. Kak Ummu tak tahu nak bawa apa, jadi Kak Ummu fikir ada baiknya Kak Ummu ziarah Syakirah dan keluarga sambil snap gambar-gambar mereka."

"Kak... Tengok ni, Syakirah... Cerianya dia." Salida menukar nadanya supaya mereka tidak tenggelam dalam kesedihan.

"Memang Syakirah ceria, Kak Ummu bawakan buah-buahan pada Syakirah. Kak Ummu teringat Salida pernah cerita, Syakirah suka makan anggur. Jadi, Kak Ummu beli anggur 2 kg tau Ida!"

"Haa... 2 kg kak?"

"Iya... Syakirah seronok sangat tau dik."

"Alhamdulillah. Jazakillah kak... Ida tak tahu nak kata apa, moga Allah membalas kebaikan Kak Ummu dengan sebaik-baik pembalasan." Salida tersenyum, jarinya erat menggenggam tangan Ummu Rufaydah.

"Tak ada apa dik, sedikit sangat apa yang akak lakukan berbanding apa yang Ida berikan pada akak. Kemanisan ukhuwwah."

"Ida pun beruntung dapat sahabat seperti akak."

"Ida... Kak Ummu nak tanya ni... Betul ke Ida nak balik Malaysia. Haritu Kina YM dengan akak, cerita pada akak dan minta pendapat akak."

"Iya kak. Ida cadang nak balik Malaysia, nak bantu mak abah. Kalau tak mampu menolong pun sekurang-kurangnya Ida tak bebankan mereka untuk tanggung Ida di sini kak."

Ummu Rufaydah mengangguk.

"Iya dik, sebagai anak kita dituntut buat baik dengan ibubapa. Akak nak cakap dengan Ida, akak harap Ida tak kecil hati yer."

"Iya kak... tafaddhal."

"Haritu Kak Ummu berbincang dengan mak ayah kak Ummu. Alhamdulillah, ayah kak Ummu cadangkan agar Ida terus habiskan pengajian di sini. Insya Allah, perbelanjaan Ida disini akan ditanggung oleh mak ayah kak Ummu tapi ada syarat..."

Berkerut dahi Salida. Ditanggung? Syarat?

"Ya Allah kak, Ida tak nak lagi susahkan Kak Ummu."

"Bukan dik... Ini bukan susahkan akak. Hanya ini yang mampu kami bantu. Macam ni dik... Kalau Ida setuju, insya Allah mak ayah kak Ummu tanggung Ida di sini tetapi apabila Ida dah habis pengajian. Ida boleh bercuti dengan keluarga selama 2 bulan di rumah, jadi habis pengajian nanti Ida duduk di rumah 2 bulan dengan keluarga dan kemudian terus bekerja di Pusat Pengajian Al-Quran Al-Falah yang selalu Kak Ummu ceritakan tu. Kelas pengajian al-Quran yang dikelolakan oleh keluarga kak Ummu. Adik Ida yang lelaki, Farhan... Sekarang, dia kerja dengan ayah Kak Ummu di kedai buku dik. Malam, dia mengajar bahasa Arab untuk kanak-kanak. Alhamdulillah. Ida jangan susah hati lagi dik, kita teruskan pengajian di sini. Ayah kak Ummu pun dah cakap pada Farhan, kalau keputusan STAMnya bagus, insya Allah andai bumi ambiya' yang menjadi pilihannya maka ayah kak Ummu akan bantu biaya pengajiannya tetapi syaratnya nanti dia perlulah menjadi tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al-Quran Al-Falah!"

Sengaja Ummu Rufaydah menaikkan nada pada ayat 'tenaga pengajar'. Memang keluarga Ummu Rufaydah membiayai beberapa pelajar miskin di bidang agama, dengan harapan sebagai persediaan memperkasakan pusat pengajian mereka.

"Subhanallah. Allahuakbar. Kak... Ida tak tahu apa lagi yang nak cakap kak. Kalau tawaran itu yang kak Ummu berikan, insya Allah Ida terima dengan hati yang sangat bersyukur."

Salida memeluk erat Ummu Rufaydah. Pelukan dilepaskan. Ummu Rufaydah mengelap air mata Salida. Sakinah dan Maisarah yang sedari tadi hanya melihat 2 sahabat berpelukan turut sama mengelap air mata masing-masing. Mereka berempat tenggelam dalam pelukan erat. Kasih sayang yang terjalin diharapkan kekal hingga ke Negeri Abadi.

"Moga ukhuwwah kita kekal hingga ke alam sana." Salida melirih pada sahabat-sahabatnya, mengelap sisa air mata di kelopak mata.

"Amin..." Ummu Rufaydah, Sakinah dan Maisarah mengaminkan doa yang dilafazkan Salida sebentar tadi. Mudah-mudahan Allah terima doa mereka.

0 comments:

Post a Comment