(...fiksi semata-mata...) :)

Sakinah menguak jendela disisi katilnya, menghirup udara pagi sambil melihat alam indah ciptaan Tuhan. Hatinya menghiasi alunan asma' Allah, dalam nada yang perlahan dilantunkan zikir-zikir memohon petunjuk Ilahi dalam derap langkah kaki yang semakin perlahan. Lidahnya masih diam, fikirannya masih lagi ligat berputar mencari jawapan yang diharapkan dari Allah taala.

Sakinah masih menikmati 'sarapan' pagi berlaukkan alam ciptaan Allah, sesekali derap nafasnya ditahan-tahan agar udara memenuhi ruang paru-paru, ketenangan dirasai. Hatinya semakin tenang, jiwanya semakin lapang dan pastinya Sakinah tersenyum melihat keletah burung yang singgah di atas pokok sisi biliknya. "Subhanallah."

Maisarah menghampiri Sakinah yang sedari tadi asyik melihat keindahan ciptaan Allah, musim bunga di Bumi Ambiya' sedikit sebanyak memberi kalungan bunga di hatinya. Indah, begitu hebat aturan Ilahi.

"Kak Kina, Sarah dah siapkan sarapan. Jom makan."

Sakinah memandang Maisarah dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Sudah 2 tahun mereka bermukim di negara asing, jauh dari sanak saudara demi mengaut ilmu-ilmu di lubuk Ambiya', merasai kemanisan dan keberkatan tanah yang pernah dihuni para solihin. Sahabat-sahabat adalah pengganti ketiadaan ayah bonda, sahabat-sahabat saling berpegang dan bergandingan bahu di sini. Tanah Ambiya', bumi penuh keberkatan.

Sesuap nasi masuk ke mulut Sakinah.

"Sarah, mana datangnya belacan ni? Sedapnya nasi goreng Sarah, kak Kina baru berhajat nak minta emak kirimkan belacan pada Kak Ummu. Kak Ummu balik sini minggu depan kan?"

"Eh, kak Kina lupa ke semalam Ustaz Naim hantarkan barang-barang yang Sarah kirim pada emak. Emak kirim semua makanan, nak suruh kita makin besar agaknya."

"Ustaz Naim baru sampai ke?"

"A'ah... Itu yang pagi ni Sarah buat Nasi Goreng Kampung, letak belacan lagi. Kesian Kak Ida nanti bersin jer la sepanjang hari."

Salida yang dari tadi menikmati sarapan tersenyum mendengar bicara ahli baitnya. Sakinah, Maisarah, Salida dan Ummu Rufaydah mendiami rumah kecil itu. Walaupun tidak mewah dengan perabot dan kelengkapan tetapi mereka mewah dengan kasih sayang dan sikap prihatin sesama mereka. Ukhuwwah yang mengharapkan keredhaan Allah di samping ikatan yang didoakan panjang hingga ke alam akhirat. Mereka mengasihi bukan mengharap balasan tetapi kerana hati yang sarat dengan kasih sayang.

Maisarah yang paling muda tetapi dia yang paling gemar memasak. Ummu Rufaydah yang paling tua dan dia yang paling manja diantara semua kerana Ummu Rufaydah dilahirkan hanya puteri tunggal dalam keluarga. Salida dan Sakinah sudah akrab sedari di sekolah menengah dan mereka mengukuhkan ikatan persahabatan mereka di bumi asing.

"Lepas breakfast kita pergi Masjid Umawi, nak?"

Salida memberi usul. Kebiasaannya waktu pagi mereka manfaatkan dengan muraja'ah.

"Kina nak ikut Ida. Sarah nak ikut tak?"

Sakinah melonjak riang, setiap kali merindukan emak dan abah memang Masjid Umawi menjadi tarikan di Bumi Damsyik ini. Tempat Sakinah meluahkan rindu pada emak dan abah, terkadang solat sunat di Masjid Umawi cukup memberi ubat mujarab pada Sakinah mengubati rindunya.

"Sarah bukan tak nak ikut tapi Sarah dah janji dengan Amirah nak jumpa dia pagi ni. Tak per la, Kak Kina dan kak Ida pergi dulu. Nanti kalau selesai urusan dengan Amirah, Sarah pergi Masjid Umawi. Kalau tak sempat, tak jadi la ye."

**********************

Sepuas-puasnya Sakinah memohon doa pada Rabbi dengan sepenuh hati. Segala isinya diluahkan di tikar sejadah di sisi masjid. Salida bermain-main dengan dua orang anak kecil warga Arab, cantik macam patung. Hati Salida masih belum tetap dengan apa yang diputuskannya, tiada siapa di antara sahabat-sahabatnya mahupun ahli bait yang mengetahui keputusannya namun Salida masih mahu istikharah dan terus meminta petunjuk dari Allah.

"...Moga yang terbaik untukku, agamaku dan keluargaku ya Allah..."

Rancaknya bermain dengan kanak-kanak Arab, riang wajahnya tak terlakar peritnya duka di hati. Mungkin ujian ini sudah dirasakan terlalu besar untuknya sedangkan ujian ini terlalu kecil dibandingkan dengan insan-insan yang lebih malang darinya. Entah bicara apa yang ingin Allah sampaikan padanya, entah maksud tersirat apa yang mahu Allah izinkan dia selidiki, segalanya diserahkan kepada Allah yang Maha Berkuasa mentadbir alam sebaik-baiknya. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segalanya. Itulah yang sentiasa dibasahkan pada hatinya agar tidak kering dengan kemarau ujian. Allah sentiasa bersama hamba-hambaNya, berdoalah kepada Allah dengan hati yang rendah.

Sakinah mengelap sisa airmatanya yang tumpah, dihampiri sahabat yang sedari tadi bermain dengan anak-anak Arab.

"Ida, maafkan Kina ye. Lama pula."

"La ba'sa, Ida pun seronok main dengan mereka. Ibu mereka masih berhalaqah di sana. Kina dah terubat?"

Sakinah hanya tersenyum dan mengangguk sambil membetulkan kain niqabnya yang dibuka tadi.

Salida sudah maklum dengan sahabatnya, andai rindu pada keluarga di tanah air maka Masjid Umawi menjadi tempat untuk mereka meluahkan rindu. Bukan di rumah tidak dapat membisikkan rindu tetapi rindu mereka terubat apabila dapat meluahkan segalanya di atas tikar sejadah. Allah saja yang lebih mengetahui tersiratnya. Damai dan tenang di dalam Masjid Umawi seakan dapat melupakan kerinduan di hati mereka.

Ummu Rufaydah beruntung dilahirkan dalam keluarga yang agak senang. Asal rindu menapak hati, pastas ibubapanya memasukkan sejumlah wang untuk memesan tiked pulang ke tanah air. Hampir setiap tahun sepanjang bermusafir di bumi Ambiya' ini Ummu Rufaydah pulang ke tanah air, hanya sekali yang ibubapa Ummu Rufaydah berziarah ke perlembahan Syam dan kemudian Ummu Rufaydah mengikut ibubapanya pulang ke tanah air.

Salida tidak cemburu, masakan dia cemburu pada sahabatnya. Berkongsi bahagia melihat sahabatnya bahagia.

********************

"Kina... Ida nak bagitahu Kina, nak minta pandangan dan nasihat dari Kina. Ida dah istikharah tetapi hati Ida masih berbolak balik, belum betul-betul tetap. Kalau Kina tak keberatan, Ida nak nasihat dari Kina."

Sakinah merenung anak mata Salida, dia maklum sahabatnya memang sukar untuk diramal. Sesekali dia sendiri tidak mampu untuk membaca gerak langkah dan perasaan sahabat akrabnya. Salida seorang yang tidak suka bersedih dan bermuram durja hatta ujian menyinggah pada kamus hidupnya. Salida seorang yang gemar senyum dan akhlaqnya sangat menyenangkan insan sekelilingnya.

"Kenapa, Ida ada masalah? Insya Allah, Kina usaha untuk bantu Ida apa yang mampu. Selebihnya Kina hanya mampu berdoa pada Allah agar memudahkan urusan Ida."

Salida tunduk, membuang pandangan jauh. Dikuis-kuis pasir di hujung kasutnya, nafas ditarik sedalam-dalamnya.

"Kina... Ida nak balik Malaysia."

"Kenapa?"

"Adik bongsu Ida disahkan leukimia sudah tahap serius. Mak tak nak bagitahu Ida sebab tak nak Ida sedih tapi minggu lepas Ida talifon rumah, semuanya susah nak cakap. Sekarang, adik Ida di ICU. Kos rawatan adik tinggi. Ida rasa mak dan abah tak mampu nak sara Ida disini lagi Kina, Ida pun tak nak bebankan mereka lagi. Kalau Ida balik Malaysia, sekurang-kurangnya kos untuk Ida disini boleh digunakan untuk biaya adik dan Ida boleh bekerja untuk membantu abah. Kina tahu kan, keluarga Ida bukan senang. Ida disini dengan ihsan keluarga. Abang dan kakak Ida sudah berkeluarga dan ada masanya mereka juga memerlukan duit untuk keluarga."

Sakinah menggenggam jemari halus sahabatnya. Begitu besar ujian yang Allah berikan padanya namun masih berperwatakan riang. Tiada tanda sedih dan duka namun hatinya Allah jualah yang lebih mengetahui.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Ida betul nak balik? Tak ada cara lain ke? Kalau Ida balik pun belum tentu semua kos rawatan adik Ida dapat ditanggung. Ida, maafkan Kina kalau Kina tak peka dengan keadaan Ida. Kina tak tahu Ida menanggung ujian sehebat ini. Ahli bait yang lain tahu masalah ni?"

"Tak, Kina orang pertama yang tahu. Ida tak tahu nak cari jalan lain, sekurang-kurangnya kalau Ida balik nanti mak ayah tak perlu hantar duit, wang saku bulanan yang kakak dan abang hantar pun boleh digunakan untuk rawatan adik. Entahlah Kina, Ida sendiri masih belum cukup kuat untuk menghadapi keputusan ini. Ida dah istikharah, hati Ida makin teringat pada adik tetapi Ida juga sayang nak tamatkan study di bumi Syam."

Sakinah memeluk erat sahibah yang dikasihinya kerana Allah dan Rasul Nya. Pelukan kasih sayang dari seorang teman, moga menenangkan resah di hati seorang teman.

... bersambung, insya Allah ...

0 comments:

Post a Comment